AWS sasar manfaatkan 445,000 penjawat awam, 10,000 PKS menerusi inisiatif Semarak AI Malaysia

LocalTechnology
4 Nov 2026 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AWS sasar manfaatkan 445,000 penjawat awam, 10,000 PKS menerusi inisiatif Semarak AI Malaysia Image from: AWS sasar manfaatkan 445,000 penjawat awam, 10,000 PKS menerusi inisiatif Semarak AI Malaysia sarah04/11/2026 - 14:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Amazon Web Services (AWS) menyasarkan sehingga 445,000 penjawat awam dan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat daripada inisiatif Semarak AI Malaysia bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam serta perniagaan.

 

Menerusi program itu, penjawat awam akan diberikan akses kepada aplikasi Amazon Quick untuk mempercepatkan tugasan harian dan menganalisis maklumat, manakala PKS yang layak berpeluang menggunakan teknologi AI secara percuma selama enam bulan, dengan sasaran penyertaan menjelang 2028.

 

AWS berkata, program tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu AI Negara untuk sektor awam, AI Ekonomi bagi perniagaan dan AI Rakyat untuk masyarakat, dengan tumpuan membolehkan rakyat Malaysia bukan sahaja menggunakan AI, malah membangunkan penyelesaian teknologi sendiri.

 

Peluang AI diperluas kepada penjawat awam, PKS dan pelajar

Di bawah AI Negara, kerjasama dengan GovTech Malaysia dan Jabatan Digital Negara (JDN) turut menyasarkan latihan penggunaan teknologi pembangunan perisian berasaskan AI kepada 500 pembangun pada 2026, sebelum diperluas kepada 4,000 menjelang 2028.

 

Bagi sektor perniagaan pula, AWS bekerjasama dengan GD XCHANGE dan VSTECS untuk menyediakan akses percuma selama enam bulan kepada aplikasi Amazon Quick dan Kiro bagi PKS yang layak, selepas menjalani penilaian kesediaan AI, sekali gus membantu mereka mengurus operasi, menganalisis pasaran dan meningkatkan produktiviti.

 

Sementara itu, lebih 3,000 pelajar dan pensyarah politeknik serta kolej komuniti telah menyertai pertandingan POLYCC Agentic AI League 2026, sekali gus mencatatkan rekod kebangsaan bagi penyertaan terbesar dalam pertandingan AI berkenaan.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penggunaan AI perlu memberikan manfaat sebenar kepada perniagaan, khususnya melalui pengurangan kos, peningkatan produktiviti dan daya saing.

 

“AI sepatutnya membantu perniagaan kecil memperoleh manfaat, bukannya mengalami kerugian. Penggunaan AI mesti diterjemahkan kepada kos yang lebih rendah, produktiviti yang lebih tinggi dan daya saing yang lebih kukuh,” katanya ketika merasmikan AWS Cloud and AI Day 2026 hari ini.

 

Malaysia bangunkan 117 pusat data, buka peluang kepada syarikat tempatan

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Johari berkata, sebanyak 117 pusat data telah diluluskan di Malaysia dengan anggaran keperluan tenaga maksimum sekitar 23,500 megawatt (MW), termasuk 55 yang sudah beroperasi, 19 sedang dibina, 16 dalam perancangan dan 27 lagi diluluskan untuk menggunakan bekalan tenaga di luar grid.

 

Beliau berkata, kerajaan turut menetapkan sekurang-kurangnya 30% kandungan tempatan bagi projek pusat data yang diluluskan di bawah Pasukan Petugas Pusat Data, bagi memastikan kontraktor, jurutera, perunding dan pembekal Malaysia mendapat peluang daripada pelaburan tersebut.

 

“Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi lokasi yang menempatkan infrastruktur digital, sebaliknya perlu menjadi negara yang mencipta nilai melalui teknologi digital,” katanya sambil menegaskan kepentingan membangunkan lebih ramai jurutera, pembangun perisian dan syarikat teknologi tempatan.

 

AWS sebelum ini mengumumkan komitmen pelaburan RM29.2 bilion di Malaysia sehingga 2038, yang dianggarkan menyumbang RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyokong purata lebih 3,500 pekerjaan setahun dalam perniagaan tempatan, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Malaysia bukan sekadar lokasi pusat data tetapi juga hab pembangunan teknologi AI.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved