sarah27/10/2026 - 10:12 KUALA LUMPUR 27 Okt - Aplikasi TuJu yang menjadi perhatian selepas kerajaan menggalakkan penjawat awam beralih daripada Waze sebenarnya tidak dibangunkan sebagai aplikasi navigasi, sebaliknya bertujuan membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat dan bantuan, khususnya ketika kenderaan mengalami kerosakan.
Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, TuJu tidak pernah dirancang untuk bersaing dengan Waze kerana fungsi utamanya adalah menyediakan perkhidmatan tambahan kepada pengguna lebuh raya bertol.
"Ia bukan aplikasi navigasi seperti Waze," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini yang diterbitkan hari ini.
Menurut beliau, aplikasi itu menyediakan maklumat trafik, lokasi kawasan rehat dan rawat (R&R), kamera penguatkuasaan serta nombor telefon kecemasan yang boleh dihubungi pengguna sekiranya berdepan masalah di lebuh raya.
"Jika anda terkandas di lebuh raya, anda boleh menggunakan TuJu untuk mendapatkan nombor telefon pihak yang boleh dihubungi dan mengetahui bantuan yang tersedia," katanya.
Penjelasan Hasni itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam menggunakan aplikasi tempatan berbanding Waze berikutan kebimbangan keselamatan yang dikaitkan dengan hubungan aplikasi berkenaan dengan Israel. Bagaimanapun, Anwar pada 23 Oktober lalu mengakui aplikasi TuJu masih belum lengkap, manakala Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan penggunaannya tidak diwajibkan kepada semua rakyat Malaysia dan aplikasi alternatif seperti Google Maps masih dibenarkan.
Hasni berkata, Perdana Menteri turut memintanya menambah baik TuJu selepas aplikasi berkenaan menerima aduan berhubung gangguan teknikal susulan peningkatan mendadak jumlah muat turun.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu meneliti sama ada LLM dan pemaju aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd, telah memberikan penjelasan tepat mengenai fungsi TuJu ketika taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 20 Oktober lalu yang tidak dihadirinya.
"Jika taklimat yang diberikan LLM kepada MKN mengelirukan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya sambil menjelaskan beliau telah membaca minit mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, persoalan turut timbul mengenai pelaksanaan projek TuJu yang tidak melalui proses tender terbuka selepas bekas Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau mencadangkan projek tersebut dan ia tidak dianugerahkan menerusi tender terbuka.
Bagaimanapun, Hasni menegaskan keputusan meluluskan projek itu dibuat secara kolektif oleh lembaga pengarah LLM dan bukannya keputusan Abdul Rashid secara bersendirian.
Beliau turut menjelaskan pembiayaan TuJu ditanggung pelabur projek menerusi dana dalaman atau pinjaman, dan bukannya menggunakan peruntukan kerajaan. Namun, ketika ditanya sama ada aplikasi itu menjana pendapatan kepada LLM, Hasni berkata beliau perlu menyemak unjuran pulangan pelaburan projek berkenaan terlebih dahulu. - DagangNews.com





