sarah04/11/2026 - 17:34 Sumber gambar Nvidia KUALA LUMPUR 4 Nov - ITMAX System Bhd merancang memperluas penggunaan sistem pengurusan trafik berasaskan kecerdasan buatan (AI) kepada lebih 17,000 kamera menjelang 2027 dengan memanfaatkan teknologi gergasi cip Amerika Syarikat, Nvidia, bagi meningkatkan kecekapan lalu lintas dan pengurusan bandar.
Menurut laporan The Star yang memetik catatan blog Nvidia, sistem SamurAI V2 yang dibangunkan ITMAX akan dipertingkat menggunakan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia RTX PRO 6000 bagi membolehkan analisis rakaman kamera dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan.
Sistem itu turut menggunakan model AI Nvidia Cosmos dan Nemotron serta teknologi Metropolis untuk menganalisis rakaman video, mencari maklumat berkaitan dan menghasilkan rumusan yang membantu pihak berkuasa membuat keputusan operasi.
Selain itu, ITMAX mengintegrasikan TeraSim, platform simulasi trafik sumber terbuka yang dibangunkan Laplace Intelligence, bagi mengoptimumkan masa pertukaran lampu isyarat mengikut keadaan lalu lintas.
Masa perjalanan waktu puncak berkurang sehingga 26%
Menurut Nvidia, penggunaan teknologi berkenaan telah membantu mengurangkan masa perjalanan ketika waktu puncak sehingga 26% di laluan trafik tertentu, sekali gus memperlihatkan potensi AI dalam mengurangkan kesesakan jalan raya.
ITMAX menyediakan infrastruktur dan aplikasi AI menerusi perjanjian perkhidmatan terurus jangka panjang dengan pihak berkuasa tempatan, membolehkan bandar menggunakan teknologi tersebut tanpa perlu membangunkan atau menyelenggara sistem sendiri.
AI perluas keupayaan pengurusan bandar
Nvidia berkata, semakin banyak bandar menggunakan AI untuk menukar data daripada kamera, sensor dan sistem operasi kepada maklumat yang boleh dimanfaatkan bagi perancangan infrastruktur, penyelenggaraan serta penyampaian perkhidmatan awam.
Menurutnya, penggunaan infrastruktur pengkomputeran secara bersama juga membolehkan jabatan kerajaan tempatan dan pembangun teknologi memperluas aplikasi AI tanpa perlu membuat pelaburan besar dalam kemudahan pengkomputeran masing-masing.
Inisiatif seumpama itu turut dilaksanakan di Sepanyol, Poland dan Amerika Syarikat, merangkumi pengurusan mobiliti bandar, pemantauan keselamatan, perkhidmatan awam serta tindak balas kecemasan.
Nvidia sedang mempamerkan perkembangan teknologi bandar pintar tersebut pada Smart City Expo World Congress di Barcelona, Sepanyol, yang berlangsung dari 3 hingga 5 November 2026.- DagangNews.com





