
Kejadian pokok tumbang angkara bencana alam mahupun perbuatan manusia bukanlah sesuatu yang pelik, bahkan di Malaysia juga sering berlaku.
Pun begitu, kejadian pokok tumbang ini boleh mendatangkan bahaya terutamanya bagi pengguna jalan raya yang sedang memandu atau menunggang motosikal.
Malah kenderaan juga boleh mengalami kerosakan yang teruk (total loss) sekiranya dihempap pokok dan lebih teruk lagi, jika melibatkan nyawa seseorang.
Baca Artikel Berkaitan: Pokok Tumbang Di Jalan Sultan Ismail, Hempap Landasan Monorel [Video]
Axia masih boleh bergerak selepas dihempap pokok kepala
Bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial satu video yang memaparkan sebuah kereta masih mampu bergerak meskipun sudah hampir ‘leper’ dihempap pokok di Kedah.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @jeraiwokshop, kereta kompak segmen-A model Perodua Axia itu dikatakan dihempap pokok kepala ketika sedang dipandu.
Menurut seorang lelaki, pokok berkenaan tumbang bukanlah kerana bencana alam, sebaliknya dipotong oleh seseorang yang kemudiannya melarikan diri selepas kejadian.
“Pemandu ada cedera juga, pokok jatuh betul-betul dekat bahagian penumpang belakang, nasib baik belakang takda orang masa itu,” katanya.
Masih boleh bergerak tapi tak berbaloi untuk diperbaiki
Menurutnya lagi, meskipun kereta tersebut masih boleh bergerak, namun peluang untuk membaikinya semula amat tipis kerana kerosakan yang teruk, malah dikira tidak berbaloi.
Jelas lelaki itu, bagaimanapun pemilik kereta boleh menuntut insuran meskipun tidak mengambil perlindungan tambahan peril khas (bencana alam) kerana kejadian tersebut berlaku angkara manusia.
“Kalau tengah parkir dan pokok tumbang, dia (pemilik kereta) tak boleh buat apa-apa, kereta pun tak boleh ‘claim’ (tuntut insuran),” katanya lagi.
pokok jatuh kena kereta boleh claim??? #jeraiworkshop #kedah #accident #insuranceclaim 013 555 2521 din 016 326 1443 ain
Netizen tertarik lihat Axia dihempap pokok masih boleh bergerak
Sementara itu, memindai ke ruangan komen rata-rata pengguna media sosial tertarik melihat Perodua Axia itu yang masih mampu bergerak meskipun dalam keadaan sedemikian.
Kebanyakan mereka berseloroh dengan menyatakan reka bentuk Axia sebegitu agak cantik dan kelihatan lebih ‘sporty’.
Manakala segelintir orang pula memberi pandangan bahawa kenderaan terbabit sebaiknya dijadikan kereta potong daripada diperbaiki dan dijual semula kepada individu lain.




Source:



