PARIT BUNTAR - Sifat pemurah dan gemar membantu golongan memerlukan menjadi antara kenangan paling berharga ditinggalkan seorang pesara guru yang meninggal dunia ketika menunaikan haji di Makkah.
Allahyarham Abdul Redduwaf Abdul Rahman, 64, menghembuskan nafas terakhir di Hospital King Faisal, Makkah kira-kira jam 8.45 malam (waktu Arab Saudi) pada 19 Mei lalu selepas mengalami sesak nafas.
Beliau yang tinggal di Taman Kerian di sini menunaikan haji buat kali pertama bersama isteri, Zainah Wan Cheek, 60, dilaporkan mengadu tidak sihat sebelum dibawa ke klinik dan kemudian dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
Anak arwah, Abdul Wafaa Abdul Redduwaf, 32, berkata, bapanya yang juga bekas guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh, Pulau Pinang, sememangnya dikenali sebagai seorang yang suka menolong orang, namun tidak pernah menceritakan secara terperinci mengenai sumbangan yang diberikan.
Menurutnya, hanya selepas berita pemergian bapanya tersebar, barulah keluarga menyedari Allahyarham banyak menghulurkan bantuan secara senyap kepada mereka yang memerlukan terutama komuniti setempat.
**media[3528251]**
“Bila saya dengar dan lihat perkongsian orang ramai termasuk di media sosial, ramai yang berkongsi kebaikan arwah. Rupanya dia memang banyak membantu, termasuk mengumpul wang dan memberi barangan keperluan seperti beras kepada golongan susah.
“Kami sendiri kurang tahu semua itu kerana arwah tidak pernah menunjuk atau bercerita,” katanya kepada Sinar Harian.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya pada 12 Mei lalu ketika menghantar untuk berlepas menunaikan haji dari sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Katanya, pemergian itu lebih terasa kerana melihat keterujaan arwah dan ibunya yang membuat pelbagai persiapan sejak awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Mereka memang sangat teruja. Sebelum dapat panggilan pun dah buat persediaan, pergi kursus haji sampai ke Bangi, beli barang keperluan dan siap buat kenduri doa selamat.
“Kenduri pun besar, sampai tujuh khemah. Masa tu saya pun terfikir macam kenduri kahwin, tetapi saya ikutkan sahaja sebab nampak mereka benar-benar gembira,” ujarnya.
**media[3528261]**
Abdul Wafaa menambah, bapanya pernah menyuarakan hasrat meninggal dunia dalam keadaan mudah tanpa perlu menyusahkan sesiapa.
“Dia pernah cakap, kalau boleh tak mahu susahkan orang, tak mahu orang kena jaga dia kalau sakit. Dia nak pergi dengan mudah,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, ibunya juga pesara guru yang masih berada di Makkah kini dalam keadaan stabil dan akan meneruskan ibadah haji seperti dirancang sebelum dijadualkan pulang pada 25 Jun depan.
Katanya, keluarga menerima ketentuan itu dengan hati terbuka walaupun masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehilangan tersebut.
"Kami reda walaupun masih terkejut. Mak pun kuat, dia sendiri yang banyak ingatkan kami supaya terima dengan tenang," katanya lagi.
