Azam Jaya catat pendapatan RM101.7 juta bagi 1H FY2025, susut akibat cabaran di tapak pembinaan

29/08/2025 - 18:20
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Azam Jaya Berhad mencatatkan pendapatan RM101.7 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), meskipun menghadapi beberapa cabaran di tapak projek.
Dalam suku kedua (2QFY25), syarikat pembinaan infrastruktur jalan utama di Sabah itu mencatatkan pendapatan RM43.1 juta, sedikit menurun berbanding RM58.6 juta pada suku sebelumnya.
Azam Jaya mencatatkan pendapatan RM101.7 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 2025 (1HFY25), susut berbanding RM148.8 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun sebelumnya (1HFY24).
Bagi tempoh sama, keuntungan bersih merosot kepada RM2.9 juta berbanding RM7.8 juta pada 1HFY24.
Penyusutan itu disebabkan aktiviti pembinaan di beberapa tapak bergerak agak perlahan dan faktor demografi yang kompleks memerlukan koordinasi serta perancangan sumber tambahan.
Namun, kumpulan akan terus proaktif dalam memperhalusi pelaksanaan demi menyokong kemajuan stabil di semua lokasi projek.
Walaupun mencatat pendapatan lebih rendah, keuntungan bersih Azam Jaya meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM2.4 juta daripada RM0.5 juta pada suku pertama, dipacu oleh tuntutan variasi harga yang dikemukakan kepada pelanggan.
Pengarah Eksekutif Azam Jaya, Datuk Jessica Lo berkata, syarikat terus yakin untuk mengekalkan prestasi stabil pada suku akan datang melalui pengurusan kos, kecekapan operasi dan penglibatan pelanggan.
“Dengan buku pesanan bernilai RM1.38 bilion setakat 30 Jun 2025, kami yakin akan terus menjana pendapatan yang kukuh dan aliran projek yang menyokong pertumbuhan berterusan.
“Awal bulan ini, kami dianugerahkan kontrak naik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM120.9 juta yang akan mengukuhkan portfolio syarikat dan peranan dalam mempertingkatkan kesalinghubungan serta infrastruktur Sabah.
“Bersama penglibatan dalam Lebuh Raya Pan Borneo, projek-projek ini menempatkan syarikat dalam kedudukan strategik untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat melihat prospek yang positif dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13, khususnya dalam pengangkutan, pengembangan industri dan kesalinghubungan luar bandar. - DagangNews.com
standard

