Azam Kelantan mahu tauliah Nik Zawawi disemak

LocalPolitics
13 May 2026 • 5:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Azam Kelantan mahu tauliah Nik Zawawi disemak
Nizam

KOTA BHARU – Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) menggesa kerajaan negeri menjalankan siasatan terhadap Nik Muhammad Zawawi Salleh serta menyemak semula tauliah ceramahnya susulan kontroversi pengucapan yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Koordinator Azam Kelantan, Nizam Muhamad berkata, kandungan ceramah Ahli Parlimen Pasir Puteh itu didakwa menghina sahabat utama Rasulullah SAW iaitu Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.

Menurutnya, keahlian Nik Muhammad Zawawi dalam ilmu agama perlu melalui proses pemurnian oleh pihak berautoriti agama di negeri ini.

“Sehubungan itu, Azam Kelantan menggesa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kerajaan Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud menggunakan bidang kuasa yang ada untuk menjalankan siasatan terhadap Zawawi.

“Malah perlu mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dan agensi berkaitan menyekat tauliah atau akses beliau menyampaikan ceramah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Nizam berkata, kenyataan dalam satu ceramah di Kuala Terengganu, Terengganu pada minggu lalu itu bukan sahaja didakwa menghina sahabat Nabi, malah memberi konotasi negatif terhadap agama Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, ketegasan perlu ditunjukkan kerajaan negeri bagi menjaga kemurnian agama Islam serta imej pentadbiran negeri yang membawa dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Terkini, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf dan mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan yang mencetuskan kontroversi itu.

Beliau mengakui sama sekali tidak berniat untuk menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan ALLAH SWT, sebaliknya bertujuan menjelaskan kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah masyarakat jahiliah kepada kehidupan lebih mulia dan berperadaban.