Azam Tahun Baharu 2026 : Tidur Lebih Baik, Hidup Lebih Seimbang

Health & FitnessLifestyle
8 Jan 2026 • 3:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Setiap kali tahun baharu menjelang, ramai antara kita bersemangat menetapkan azam; mahu lebih sihat, lebih cergas dan lebih berdisiplin. Namun, dalam keghairahan mengejar rutin senaman baharu atau pelan pemakanan seimbang, satu elemen asas sering terlepas pandang iaitu kualiti tidur.

Hakikatnya, kurang tidur kini menjadi satu ‘wabak senyap’ dalam kalangan rakyat Malaysia. Berjaga lewat malam, penggunaan gajet tanpa henti dan jadual harian yang tidak menentu menyebabkan ramai orang dewasa hidup dalam keadaan ‘hutang tidur’ yang kronik. 

Akibatnya bukan sekadar rasa mengantuk, tetapi turut menjejaskan metabolisma, emosi dan kesihatan jangka panjang.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, dua daripada lima individu dewasa di Malaysia tidak mendapat tidur yang mencukupi. 

image is not available

Lebih membimbangkan, satu tinjauan pada tahun 2024 mendapati 87.2 peratus rakyat Malaysia mengalami gangguan tidur seperti insomnia, kerap terjaga atau sukar untuk lena. 

Statistik ini menjelaskan mengapa ramai berasa lesu dan sukar mengekalkan gaya hidup sihat walaupun sudah berusaha.

Tidur bukan sekadar waktu rehat, sebaliknya ia adalah asas kepada kesejahteraan menyeluruh. 

“Ramai sedar tidur itu penting, tetapi tidak menyedari kesan jangka panjang apabila tubuh kekurangan rehat secara berterusan,” ulas Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) di Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Juani Hayyan Abdul Karaf. 

image is not available
Dr Juani Hayyan Abdul Karaf

Tekanan kerja, tuntutan gaya hidup moden dan waktu tidur yang tidak konsisten menyebabkan kekurangan tidur kronik menjadi perkara biasa.

Apabila tidur terganggu, tubuh mula bertindak balas. Hormon yang mengawal selera makan menjadi tidak seimbang, hormon kenyang menurun, manakala hormon lapar meningkat. 

Tidak hairanlah keinginan terhadap makanan manis dan berkarbohidrat tinggi semakin kuat. Pada masa yang sama, paras hormon tekanan meningkat, menyebabkan seseorang cepat letih, mudah marah dan kurang motivasi untuk bersenam. Kesannya, azam sihat yang dirancang dengan baik mula goyah.

Lebih membimbangkan, ramai tidak menyedari bahawa simptom harian seperti sakit kepala waktu pagi, sukar fokus atau rasa tidak segar selepas bangun tidur sebenarnya petanda tidur yang tidak berkualiti. 

“Keadaan sebaik bangun tidur adalah cerminan kualiti tidur anda,” jelas Dr Juani. 

Rasa lesu, pening atau mengantuk pada waktu yang tidak sesuai tidak seharusnya dianggap normal. Selain faktor gaya hidup, masalah saluran pernafasan juga sering menjadi punca tersembunyi. 

Berdengkur, hidung tersumbat, masalah sinus atau pernafasan melalui mulut ketika tidur boleh menghalang aliran udara yang optimum. Dalam jangka panjang, keadaan ini mengganggu fasa tidur nyenyak yang diperlukan oleh tubuh untuk pulih sepenuhnya.

Isu struktur seperti septum hidung bengkok atau tonsil membengkak pula boleh menyempitkan saluran pernafasan tanpa disedari. Dalam kes tertentu, keadaan ini boleh membawa kepada apnea tidur obstruktif, di mana pernafasan terhenti seketika berulang kali sepanjang malam. 

Kekurangan oksigen secara berulang bukan sahaja menjejaskan kualiti tidur, malah meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes dan strok.

Bagi mereka yang kerap berdengkur atau berasa letih walaupun tidur lama, penilaian ENT boleh membantu mengenal pasti punca sebenar. 

image is not available

Rawatan awal, sama ada melalui perubahan gaya hidup, rawatan bukan invasif atau penggunaan alat bantuan pernafasan, mampu memberi perubahan besar terhadap kualiti hidup.

Bagi yang tidak mempunyai masalah pernafasan, menetapkan semula jadual tidur kekal sebagai langkah paling mudah dan berkesan. 

Waktu tidur yang konsisten, pengurangan penggunaan gajet sebelum tidur, pencahayaan bilik yang lembut dan rutin menenangkan mampu membantu tubuh kembali ke ritma semula jadi.

Pada tahun 2026 ini, mungkin sudah tiba masanya kita mentakrifkan semula maksud hidup sihat. Tidur yang berkualiti bukan kemewahan, tetapi keperluan asas. Apabila tidur dijaga dengan baik, barulah azam lain dapat dicapai dengan lebih seimbang dan berpanjangan. - Getaran, 8 Januari 2026