PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak mahu mengulas berhubung status baki kontraknya yang akan berakhir pada 12 Mei ini.
Ketika ditemui pemberita pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM, di sini, beliau hanya menjawab ringkas.
“Saya tidak mahu jawab,” katanya.
Sebelum ini, pada 10 Mac lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dilaporkan belum membuat sebarang keputusan berhubung status kontrak Azam.
Untuk rekod, Azam telah dilantik secara kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sebanyak tiga kali.
Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984 sebagai penolong pegawai siasatan.
Sepanjang perkhidmatannya, Azam pernah memegang pelbagai jawatan termasuk pegawai perisikan dan pegawai pendakwaan, selain terbabit dalam aktiviti pendidikan masyarakat.
Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azam mempunyai kelulusan diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan ijazah sarjana daripada Asia E-University.
