PUTRAJAYA - Tindakan berskala besar secara bersepadu diketuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilaksanakan berkenaan kes sisa elektronik (e-waste) yang telah keluar dari pelabuhan dan berada dalam negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan ini termasuklah e-waste yang berada di premis kilang dan sebagainya.
"Jadi tindakan ini dibuat secara pasif untuk memastikan mana-mana tempat yang ada e-waste diambil tindakan secara impak," katanya ketika ditemui dalam Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Matf): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin serta pegawai kanan daripada daripada pelbagai agensi penguat kuasa.
Tambah Azam, Pasukan Petugas Khas dipengerusikan beliau akan menguatkuasakan undang-undang secara berterusan terutama di Pelabuhan Klang.
Jelasnya, pasukan juga akan melihat kepada pelabuhan lain seperti di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang untuk terus dipantau mengenai kemungkinan besar kontena e-waste ini akan cuba menyusup masuk.
"Setakat ini belum ada kes, cuma yang berlaku di Pelabuhan Klang.
"Ada kira-kira 800 lebih lagi kontena (e-waste) masih terbengkalai (di Pelabuhan Klang) dan tindakan untuk melupuskan sedang dijalankan iaitu dengan cara menghantar balik ke negara terbabit yang mengeksport ke negara kita.
"Kedua, pelupusan secara mengikut undang-undang yang kita jalankan di mana agensi terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS)," ujarnya.
Mengulas mengenai sisa plastik pula, kata Azam, libat urus akan dibuat SPRM dengan pelbagai pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat keperluan pengimportannya ke dalam negara.
"Kita lihat adakah ada keperluan import sisa plastik ini. Sekiranya perlu, berapa banyak? Kuota sedang diteliti dan kita akan buat libat urus untuk pastikan berapa kuota yang dibenarkan dibawa masuk.
"Sisa plastik juga melibatkan pencemaran alam sekitar.
"Kita perlu membuat satu formula bagaimana pengurusan sisa plastik dibuat secara baik," ujarnya.
Sebelum itu, kerajaan mengumumkan larangan mutlak terhadap pengimportan e-waste ke negara ini berkuat kuasa Rabu.
Langkah tegas itu dilaksanakan melalui pewartaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026] yang diletakkan di bawah Jadual Pertama perintah berkenaan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026.
