Golongan profesional jadi 'pemudah cara' sindiket jenayah - Azam Baki

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam semasa berucap pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Matf): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis. Foto: SPRM

PUTRAJAYA - Segelintir golongan profesional dikesan menggunakan kedudukan dan memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada sindiket jenayah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, antara golongan profesional yang sering dikaitkan dengan perkara ini ialah sektor perundangan, perakaunan serta teknologi maklumat (IT).

“Ini antara tiga-tiga profesion sepatutnya mereka patutnya membantu (ekonomi) tetapi jangan pula menjadi enabler, memudah cara untuk penjenayah-penjenayah ini.

“Mereka ini yang belajar pandai-pandai ini pula yang menjadi 'enabler' (pemudah cara) kepada sindiket jenayah,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin serta pegawai kanan daripada daripada pelbagai agensi penguat kuasa.

Tambah Azam, pelbagai kegiatan jenayah yang tersusun dan semakin kompleks ditambah dengan sokongan pemudah cara profesional berkenaan mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi negara.

Katanya, kesan daripada golongan pemudah cara inilah antara faktor utama berlaku aktiviti ekonomi ‘bawah tanah’ dan kewujudan sindiket terancang.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, penarafan antarabangsa seperti CPI (Corruption Perceptions Index) dan FATF (Financial Action Task Force) serta keyakinan pelabur.

“Seperti semua sedia maklum Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) ialah satu platform penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Peguam Negara,” ujarnya.

Azam menegaskan sekiranya tiada golongan profesional yang menjadi pemudah cara, penjenayah sukar untuk membersihkan wang hasil kegiatan haram mereka.

Katanya, SPRM sendiri terus berhadapan dengan pelbagai cabaran, khususnya dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi yang semakin mencabar.

"Kerjasama antara SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti, dan agensi berkaitan adalah penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Jenayah korporat ini adalah seperti penipuan, rasuah salah guna kuasa dan seleweng saham, penipuan pelabur dan lari cukai," ujarnya.