Ketua Pengarah JAS, timbalan dijangka dituduh esok

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam semasa berucap pada Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Matf): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis. Foto SPRM

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah memperoleh persetujuan daripada pendakwa raya untuk meneruskan pertuduhan berkenaan.

“Persetujuan daripada pihak pendakwa raya telah kita perolehi. Saya harap tiada pembatalan terhadap perkara ini.

“Mereka dijangka dituduh di mahkamah esok (Jumaat),” katanya ketika ditemui dalam Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Matf): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

Mengenai pelantikan kepimpinan baharu JAS, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara.

Katanya, Ketua Pengarah baharu dijangka dilantik selepas kedua-dua individu berkenaan dituduh di mahkamah.

Sebelum ini, kedua-dua pegawai tinggi JAS itu ditahan SPRM pada 29 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu sisa elektronik (e-waste).

Kedua-dua mereka kemudian direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

SPRM menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.