
PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menepati sasaran apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir dalam acara 100 meter (m) lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beraksi di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya, hari ini, atlet kelahiran Teluk Intan itu kelihatan tenang menamatkan lariannya dengan catatan 10.17 saat (s) pada aksi saringan kelima.
Tempat kedua menjadi milik pelari Singapura, Marc Brian Louis dengan catatan masa 10.33s dan turut mara ke separuh akhir adalah Chun-han Yang dari Taiwan (10.38s) di tempat ketiga.
Pelari pecut Bangladesh, Imranur Rahman yang menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 10.49 saat turut mara ke separuh akhir selepas merekodkan masa keempat terpantas keseluruhan dalam pusingan saringan.
Sebagai rekod, Azeem melakukan catatan musim terbaiknya dengan merekodkan masa 10.09s sekali gus menyamai rekod kebangsaan miliknya ketika beraksi di suku akhir 100m kelayakan NCAA di Oregon, Mei lalu.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Umaira Subri gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir 100m lelaki selepas menamatkan larian 10.43s.
Walaupun gagal mara ke separuh akhir, catatan tersebut menjadi pencapaian peribadi terbaik Umaira mengatasi 10.44s yang dilakukannya ketika beraksi di Terbuka Malaysia, Jun lalu.
Tempat pertama dimenenangi pelari pecut Thailand, Puripol Boonson dengan larian 9.95s meninggalkan Keli Zeng dari China di tempat kedua (10.22s) dan turut melayakkan ke separuh akhir adalah Animesh Kujur dari India (10.36s) di tempat ketiga.
Peringkat separuh akhir dan akhir bagi acara 100m lelaki dan wanita dijadual berlangsung esok. – UTUSAN
The post Azeem mara, Umaira terkandas appeared first on Utusan Malaysia.






