Aziz Sheikh Fadzir, Ismail Mustaffa letak jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Destini

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 7:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aziz Sheikh Fadzir, Ismail Mustaffa letak jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Destini Image from: Aziz Sheikh Fadzir, Ismail Mustaffa letak jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Destini johardy17/08/2026 - 19:41 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Dato' Abd Aziz Haji Sheikh Fadzir dan Ismail Mustaffa meletakkan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Destini Berhad, menjadikan keempat-empat pengarah yang dinamakan dalam resolusi penyingkiran pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu kini telah meletakkan jawatan.

 

Dengan perkembangan terbaharu ini, DagangNews difahamkan EGM yang dijadualkan pada 21 Ogos ini tidak akan diadakan.

 

Abd Aziz, 63, meletakkan jawatan pada 15 Ogos, sehari selepas jawatannya ditukar daripada Pengerusi Eksekutif kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, menurut pemakluman Destini kepada Bursa Malaysia.

 

Ismail, 63, pula meletakkan jawatan pada 17 Ogos selepas sebelum itu ditukar daripada Pengarah Eksekutif kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 14 Ogos.

 

Kedua-duanya menyatakan “Shareholder Democracy” sebagai alasan peletakan jawatan masing-masing. Frasa sama turut dinyatakan dalam ruangan mengenai sebarang percanggahan pendapat dengan Lembaga Pengarah serta perkara yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham.

 

Pemakluman itu tidak menghuraikan maksud frasa “Shareholder Democracy”.

 

Abd Aziz memiliki 2.5 juta saham Destini secara langsung dan kepentingan tidak langsung dalam 57.92 juta saham, manakala Ismail memiliki 900,000 saham secara langsung dan 215,000 saham secara tidak langsung.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Demokrasi pemegang saham’: Aziz Sheikh Fadzir jelaskan mengapa beliau letak jawatan sebagai pengarah Destini | DagangNews

 

Empat pengarah kini sudah letak jawatan

Peletakan jawatan Abd Aziz dan Ismail menyusuli tindakan dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Norashikin Mat Yusof, 40, dan Dato' Bahudin Mansor, 66, yang meletakkan jawatan pada 13 Ogos atas alasan komitmen peribadi.

 

Keempat-empat mereka merupakan pengarah yang dinamakan dalam Resolusi Biasa 1 hingga 4 pada EGM yang dijadualkan pada 21 Ogos. Resolusi berkenaan masing-masing mencadangkan penyingkiran Abd Aziz, Ismail, Bahudin dan Norashikin sebagai pengarah berkuat kuasa serta-merta.

 

Sebelum peletakan jawatan Abd Aziz dan Ismail, Destini melakukan rombakan Lembaga Pengarah dengan melantik Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Ibni Syed Putra sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif dan Datuk Mua'Amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

 

Destini turut menukar jawatan Dato' Sri Dr Shahril Mokhtar daripada Pengarah Bukan Eksekutif kembali kepada Pengarah Urusan Kumpulan.

 

Syed Razlan dan Mua'Amar merupakan individu sama yang dicadangkan untuk dilantik masing-masing sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan pengarah menerusi Resolusi Biasa 6 dan 5 dalam notis EGM tersebut.

 

Destini terlibat terutamanya dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan serta pembekalan peralatan keselamatan. Kumpulan itu beroperasi dalam sektor penerbangan, pertahanan, marin, tenaga termasuk minyak dan gas serta mobiliti khususnya rel.

 

Empat pemegang saham panggil EGM

EGM itu dipanggil oleh LINC Shared Services Sdn Bhd, Veritas Aman Sdn Bhd, WP Travel Sdn Bhd dan Azulite Bloom Sdn Bhd.

 

Berdasarkan Rekod Pendeposit bertarikh 20 Julai, empat pihak berkenaan secara kolektif memiliki 55.78 juta saham terbitan yang mempunyai hak mengundi dalam Destini, mewakili kira-kira 10.15% daripada saham berkenaan.

 

Destini menerima notis EGM pada 22 Julai menurut Seksyen 310(b) Akta Syarikat 2016, berserta notis khas mengenai hasrat untuk mengemukakan resolusi menurut Seksyen 206(3) dan 322 akta berkenaan.

 

Resolusi Biasa 7 pula mencadangkan penyingkiran mana-mana individu yang dilantik sebagai pengarah Destini sejak tarikh notis khas dikeluarkan sehingga sebelum EGM bermula atau mana-mana penangguhan mesyuarat itu, berkuat kuasa serta-merta.

 

Peletakan jawatan Ismail turut menyebabkan beliau berhenti menjadi ahli Jawatankuasa Pengurusan Risiko Destini pada 17 Ogos.

 

Selepas perubahan itu, komposisi Jawatankuasa Pengurusan Risiko yang diumumkan Destini menyenaraikan YDM Dato' Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail, seorang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, sebagai pengerusi jawatankuasa itu. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved