‘Demokrasi pemegang saham’: Aziz Sheikh Fadzir jelaskan mengapa beliau letak jawatan sebagai pengarah Destini

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 7:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

‘Demokrasi pemegang saham’: Aziz Sheikh Fadzir jelaskan mengapa beliau letak jawatan sebagai pengarah Destini Image from: ‘Demokrasi pemegang saham’: Aziz Sheikh Fadzir jelaskan mengapa beliau letak jawatan sebagai pengarah Destini johardy17/08/2026 - 19:25 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Dato' Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, perbezaan pandangan dengan Pengarah Urusan Kumpulan Destini Berhad mengenai hala tuju strategik, keutamaan dan cara kumpulan itu harus bergerak ke hadapan merupakan antara punca beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah.

 

Abd Aziz, 63, meletakkan jawatan sebagai pengarah berkuat kuasa 15 Ogos 2026 selepas mengambil kira pandangan pemegang saham dan risiko perebutan kawalan Lembaga Pengarah yang berpanjangan boleh mengganggu tumpuan pengurusan serta menjejaskan keyakinan pemegang kepentingan.

 

Abd Aziz memiliki 2.5 juta saham Destini secara langsung dan kepentingan tidak langsung dalam 57.92 juta saham, menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia. Dalam surat peletakan jawatannya, beliau berkata akan kekal sebagai pemegang saham substansial Destini dan terus mempunyai kepentingan jangka panjang yang signifikan terhadap kejayaan syarikat itu.

 

Peletakan jawatannya berlaku selepas empat pemegang saham besar meminta satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi melaksanakan perubahan terhadap komposisi Lembaga Pengarah Destini, termasuk menyingkirkan beliau sebagai pengarah dan tiga yang lain.

 

Dalam surat peletakan jawatan bertarikh 15 Ogos yang ditujukan kepada Lembaga Pengarah Destini, Abd Aziz berkata, perbezaan antara beliau dengan Pengarah Urusan Kumpulan semakin ketara dalam tempoh beberapa bulan selepas perubahan komposisi Lembaga Pengarah dan kepimpinan eksekutif syarikat pada Disember 2025.

 

“Sebagai Pengerusi Eksekutif, saya mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan pertimbangan saya mengenai apa yang saya percaya adalah demi kepentingan terbaik syarikat,” katanya dalam surat itu.

 

Abd Aziz berkata, selepas mempertimbangkan prestasi, hala tuju strategik dan keperluan kepimpinan Destini, beliau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Eksekutif untuk memulakan perubahan dalam kepimpinan eksekutif. Beliau tidak menghuraikan lebih lanjut dalam surat itu mengenai perubahan kepimpinan berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aziz Sheikh Fadzir, Ismail Mustaffa letak jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Destini | DagangNews

 

Demokrasi pemegang saham jadi pertimbangan

Beliau berkata, selepas itu beliau sendiri berhubung dengan pemegang saham dan mempertimbangkan dengan teliti pandangan berbeza yang dikemukakan mengenai masa depan Destini, sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa berpegang kuat kepada prinsip “demokrasi pemegang saham”.

 

“Sebuah syarikat awam tersenarai akhirnya bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya dan para pengarah diamanahkan untuk menjaga kepentingan syarikat serta pemegang saham, bukannya mempertahankan kedudukan mereka sendiri,” katanya.

 

Abd Aziz berkata, mungkin terdapat saluran undang-undang atau kaedah lain yang boleh digunakan untuk mencabar beberapa aspek keadaan semasa, namun beliau tidak percaya tindakan sedemikian semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya semestinya akan memberikan kepentingan terbaik kepada Destini.

 

Menurutnya, perebutan kawalan Lembaga Pengarah yang berpanjangan berisiko mengganggu tumpuan pengurusan, menjejaskan keyakinan pemegang kepentingan serta merosakkan imej dan reputasi syarikat.

 

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan beliau percaya peralihan secara teratur adalah demi kepentingan terbaik Destini dan semua pemegang sahamnya.

 

Berjaya pulihkan prestasi Destini

Abd Aziz turut mengetengahkan pemulihan prestasi kewangan Destini sejak beliau kembali menyertai Lembaga Pengarah pada 2023 ketika kumpulan itu, menurutnya, berdepan cabaran perniagaan dan kewangan yang ketara.

 

Berdasarkan angka yang dinyatakan Abd Aziz dalam surat tersebut, Destini beralih daripada kerugian selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (LATNCI) RM133.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI) RM26.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.


 

solar

 


Kumpulan itu kemudiannya mencatatkan PATNCI belum diaudit kira-kira RM13.3 juta bagi enam bulan berakhir 31 Disember 2025, menurut surat tersebut.

 

Abd Aziz berkata, pencapaian itu bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya hasil usaha kolektif, komitmen dan daya tahan Lembaga Pengarah, pengurusan serta kakitangan Destini.

 

Beliau berkata, ketika kembali menyertai Lembaga Pengarah pada 2023, beliau mengundang Ismail Mustaffa untuk kembali ke syarikat sebagai Pengarah Eksekutif bagi bekerjasama dengannya melaksanakan program penstrukturan semula dan pemulihan kumpulan.

 

Beliau berharap Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu mengetepikan perbezaan lalu, membangunkan pelan perniagaan yang jelas dan mampan, mengukuhkan kedudukan kewangan Destini, membina semula keyakinan pemegang kepentingan serta mewujudkan nilai berkekalan kepada semua pemegang saham.

 

Destini terlibat terutamanya dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan serta pembekalan peralatan keselamatan. Kumpulan itu beroperasi dalam sektor penerbangan, pertahanan, marin, tenaga termasuk minyak dan gas serta mobiliti khususnya rel. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved