Destini rombak Lembaga Pengarah menjelang cadangan EGM, Abd Aziz bukan lagi Pengerusi Eksekutif

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 8:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Destini rombak Lembaga Pengarah menjelang cadangan EGM, Abd Aziz bukan lagi Pengerusi Eksekutif Image from: Destini rombak Lembaga Pengarah menjelang cadangan EGM, Abd Aziz bukan lagi Pengerusi Eksekutif johardy14/08/2026 - 20:30 Dato' Abd Aziz Sheikh Fadzir (kiri) dan Dato' Sri Dr Shahril Mokhtar Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Destini Berhad menukar jawatan Dato' Abd Aziz Sheikh Fadzir daripada Pengerusi Eksekutif kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif ketika syarikat itu melaksanakan rombakan besar Lembaga Pengarah menjelang mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang antara lain mahu menyingkirkan beliau sebagai pengarah pada 21 Ogos ini.

 

Syarikat itu turut melantik Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Ibni Syed Putra, 75, sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif dan Datuk Mua'Amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin, 47, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, menurut pemakluman Destini di Bursa Malaysia.

 

Pelantikan itu menarik perhatian kerana Syed Razlan dan Mua'Amar merupakan individu sama yang dicadangkan untuk dilantik menerusi resolusi dalam notis EGM pada 21 Ogos. Syed Razlan dicadangkan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif menerusi Resolusi Biasa 6, manakala Mua'Amar sebagai pengarah menerusi Resolusi Biasa 5.

 

Abd Aziz, 63, kekal dalam Lembaga Pengarah Destini selepas pertukaran jawatan itu. Beliau memiliki 2.5 juta saham secara langsung dan kepentingan tidak langsung dalam 57.92 juta saham lagi. Resolusi Biasa 1 dalam notis EGM mencadangkan beliau disingkirkan sebagai pengarah berkuat kuasa serta-merta.

 

Destini turut menukar jawatan Dato' Sri Dr Shahril Mokhtar, 54, daripada Pengarah Bukan Eksekutif kepada Pengarah Urusan Kumpulan, sekali gus menjadikannya Pengarah Eksekutif. Beliau mempunyai kepentingan langsung sebanyak 68,000 saham dalam syarikat itu.

 

Ismail Mustaffa, 63, pula ditukar daripada Pengarah Eksekutif kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif. Ismail, yang memiliki 900,000 saham secara langsung dan 215,000 saham secara tidak langsung, turut dinamakan dalam Resolusi Biasa 2 yang mencadangkan penyingkirannya sebagai pengarah.

 

Perubahan Lembaga Pengarah 

Perubahan terbaharu itu menyusuli peletakan jawatan dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Norashikin Mat Yusof, 40, dan Dato' Bahudin Mansor, 66, pada 13 Ogos, dengan kedua-duanya memberikan alasan komitmen peribadi.

 

Bahudin dan Norashikin turut dinamakan dalam notis EGM dengan Resolusi Biasa 3 dan 4 masing-masing mencadangkan penyingkiran mereka sebagai pengarah berkuat kuasa serta-merta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pengarah Destini letak jawatan seminggu sebelum EGM tentukan penyingkiran mereka

 

Perkembangan itu bermakna keempat-empat pengarah yang dinamakan dalam resolusi penyingkiran sudah mengalami perubahan kedudukan sebelum cadangan mesyuarat tersebut, dengan Bahudin dan Norashikin meletakkan jawatan, manakala Abd Aziz dan Ismail ditukar jawatan tetapi masih kekal sebagai pengarah.

 

Pada masa sama, Syed Razlan dan Mua'Amar, yang pelantikan mereka dicadangkan menerusi Resolusi Biasa 6 dan 5, sudah dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Destini. Mua'Amar turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan syarikat.

 

EGM itu dipanggil oleh LINC Shared Services Sdn Bhd, Veritas Aman Sdn Bhd, WP Travel Sdn Bhd dan Azulite Bloom Sdn Bhd. Berdasarkan Rekod Pendeposit bertarikh 20 Julai, empat pihak berkenaan secara kolektif memiliki 55.78 juta saham terbitan yang mempunyai hak mengundi, mewakili kira-kira 10.15% daripada saham berkenaan.

 

EGM tetap diadakan

Destini menerima notis EGM itu pada 22 Julai menurut Seksyen 310(b) Akta Syarikat 2016, berserta notis khas mengenai hasrat untuk mengemukakan resolusi menurut Seksyen 206(3) dan 322 akta berkenaan.

 

Resolusi Biasa 7 pula mencadangkan penyingkiran mana-mana individu yang dilantik sebagai pengarah Destini sejak tarikh notis khas dikeluarkan sehingga sebelum EGM bermula atau mana-mana penangguhan mesyuarat itu, berkuat kuasa serta-merta.

 

EGM itu dijadual berlangsung pada pukul 10 pagi, 21 Ogos di MiCasa All Suite Hotel, Kuala Lumpur. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved