
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terlepas peluang memburu emas pecut individu lelaki selepas tewas kepada Li Zhiwei dari China 2-0 di separuh akhir sebelum bangkit menewaskan pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit untuk meraih gangsa di Velodrom Izu, Shizouka, hari ini.
Azizulhasni terlebih dahulu mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan pelumba Jepun, Kanata Takahashi 2-0 dalam aksi suku akhir, sekali gus membuka laluan untuknya memburu tiket ke final.
Namun, harapan pelumba berusia 38 tahun itu untuk meneruskan pemburuan emas tidak kesampaian apabila Li Zhiwei tampil lebih kemas untuk mengatasi jaguh negara 2-0 dalam separuh akhir.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Azizulhasni apabila beliau kembali ke trek untuk perebutan gangsa dan menewaskan Jai 2-0 bagi mengesahkan tempat ketiga.
Jai bagaimanapun terjatuh sendiri dalam perlumbaan pertama perebutan gangsa, menyebabkan saingan tidak dapat diselesaikan seperti biasa sebelum Azizulhasni memanfaatkan perlumbaan berikutnya untuk memastikan gangsa menjadi miliknya.
Emas akhirnya menjadi milik Kaiya Ota dari Jepun yang menewaskan Li Zhiwei 2-0 dalam final, manakala Azizulhasni terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas gagal melepasi halangan terakhir sebelum final.
Pingat itu tetap bermakna buat Azizulhasni yang terlepas Sukan Asia Hangzhou 2022 akibat kemalangan ketika latihan, sebelum kembali ke pentas temasya kali ini dengan prestasi semasa yang cukup untuk membawanya hingga ke podium.
Untuk rekod, pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Azizulhasni meraih emas dalam acara pecut individu serta perak dalam berpasukan lelaki.
The post Azizulhasni akur gangsa pecut appeared first on Utusan Malaysia.






