Sukan Asia: Azizulhasni sedia cabar Ota

30 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Azizulhasni sedia cabar Ota

PENGALAMAN Datuk Azizulhasni Awang bakal diuji kepantasan bintang tuan rumah, Kaiya Ota apabila dua jaguh itu menjadi antara watak utama dalam perebutan pingat acara pecut individu lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Velodrom Izu, Shizuoka hari ini.

Pada usia 38 tahun, Azizulhasni masih memiliki reputasi besar dan hadir dengan bekalan keyakinan selepas meraih dua emas keirin Piala Dunia serta emas Sukan Komanwel Glasgow, namun Ota bukan lawan mudah selepas muncul juara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 pada Februari lalu.

Laluan The Pocket Rocketman juga dijangka penuh ranjau dengan naib juara ACC dari China, Li Zhiwei serta pemenang gangsa Jepun, Minato Nakaishi turut berada dalam kelompok pencabar sepanjang saingan dua hari itu.

Meskipun Azizulhasni mengalami sedikit ketegangan pada bahagian hamstring dan gluteus ketika persiapan, Ketua Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri tidak melihat keadaan tersebut sebagai penghalang besar untuknya memberikan saingan.

“Bagi Azizulhasni, terdapat sedikit ketegangan pada otot hamstring dan gluteus, tetapi ia bukan sesuatu yang serius. Keadaannya sepatutnya baik dan dia dijangka dapat beraksi seperti biasa,” kata Harnizam.

Aichi-Nagoya turut membawa makna istimewa buat Azizulhasni selepas terlepas edisi Hangzhou 2022 akibat kemalangan ketika latihan, selain temasya kali ini berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia selepas lebih dua dekad membawa cabaran negara.

Malaysia bagaimanapun memiliki satu lagi taruhan menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang meraih gangsa pecut individu dan keirin di Hangzhou, namun pelumba itu masih berdepan kesan pembedahan lutut yang memerlukan pengurusan beban latihan secara berhati-hati.

“Bagi Shah, terdapat parut pada lututnya selepas pembedahan yang sedikit mengganggunya dan keadaan itu memerlukan masa untuk pulih, jadi kami tidak boleh memaksanya.

“Kami sedang mengawal beban latihannya dan berharap selepas mengurangkan intensiti latihan menjelang kejohanan, dia mampu mencatat sekitar 9.8 saat bagi jarak 200 meter,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post Sukan Asia: Azizulhasni sedia cabar Ota appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved