
PETALING JAYA: Pertembungan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dengan pelumba sensasi Jepun, Kaiya Ota dijangka mencuri tumpuan apabila acara pecut individu lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuka tirai di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun itu hadir dengan reputasi besar serta momentum dua emas keirin Piala Dunia dan emas Sukan Komanwel Glasgow, namun perlu membuktikan pengalaman masih mampu menandingi kepantasan Ota yang muncul juara pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026, Februari lalu.
Selain Ota, cabaran dua hari itu turut menyaksikan kehadiran naib juara ACC dari China, Li Zhiwei serta pemenang gangsa, Minato Nakaishi dari Jepun, sekali gus menjadikan laluan ke podium semakin mencabar buat pelumba negara.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri bagaimanapun memberi gambaran positif mengenai keadaan fizikal Azizulhasni menjelang perlumbaan, meskipun pelumba berpengalaman itu berdepan sedikit ketegangan otot ketika persiapan.
“Bagi Azizulhasni, terdapat sedikit ketegangan pada otot hamstring dan gluteus, tetapi ia bukan sesuatu yang serius.
“Keadaannya sepatutnya baik dan dia dijangka dapat beraksi seperti biasa,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Saingan kali ini turut membawa makna tersendiri buat Azizulhasni yang terlepas Sukan Asia Hangzhou 2022 akibat kemalangan ketika latihan, selain berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya pada temasya itu selepas lebih dua dekad mengharumkan nama negara.
Tumpuan Malaysia bagaimanapun bukan hanya terarah kepada Azizulhasni apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut memiliki kemampuan mencabar kelompok hadapan selepas meraih dua gangsa dalam acara pecut individu dan keirin di Hangzhou, biarpun masih menguruskan kesan kecederaan lutut selepas menjalani pembedahan tahun lalu.
“Bagi Shah, terdapat parut pada lututnya selepas pembedahan yang sedikit mengganggunya dan keadaan itu memerlukan masa untuk pulih, jadi kami tidak boleh memaksanya.
“Kami sedang mengawal beban latihannya dan berharap selepas mengurangkan intensiti latihan menjelang kejohanan, dia mampu mencatat sekitar 9.8 saat bagi jarak 200 meter,” katanya. – UTUSAN
The post Azizulhasni, Ota jadi tumpuan pecut appeared first on Utusan Malaysia.





