Izu bukan gelanggang asing buat skuad negara

28 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Izu bukan gelanggang asing buat skuad negara

PETALING JAYA: Velodrom Izu bukan sekadar venue pertandingan buat skuad berbasikal trek negara, sebaliknya gelanggang yang menyimpan pelbagai kenangan manis apabila kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya membuka tirainya, esok.

Trek yang terletak di Shizuoka itu, pernah menyaksikan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta detik bersejarah apabila menghadiahkan pingat perak Olimpik menerusi acara keirin pada temasya Tokyo 2020.

Lima tahun lebih awal, Azizulhasni turut mengukir kejayaan di venue sama apabila meraih dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2016.

Ketua jurulatih pecut negara, Harnizam Basri berkata, faktor pengalaman beraksi di gelanggang berkenaan memberi kelebihan kepada sebahagian besar pelumba negara yang sudah biasa dengan karakter trek tersebut.

“Izu mempunyai laluan lurus yang panjang dan selekoh tajam, jadi ia mempunyai ciri-ciri berbeza berbanding velodrom lain.

“Jika dibandingkan dengan Velodrom Nasional di Nilai, ia juga kira-kira semeter lebih lebar dan kecuringannya sedikit lebih curam pada 45 darjah berbanding 44 darjah di Nilai.

“Ini menjadikannya sedikit lebih sesuai untuk pelumba yang berbadan lebih besar dan berkuasa tinggi kerana mereka boleh mendapatkan lebih banyak momentum,” katanya kepada MSN.

Menurut Harnizam, hampir semua pelumba negara pernah berlumba di Velodrom Izu sebelum ini dan hanya Akmal Jusena yang bakal membuat penampilan pertama di gelanggang tersebut.

Akmal dijadual bergandingan bersama Fadhil Zonis dan Ridhwan Sahrom dalam acara pecut berpasukan, sekali gus menjadi antara sandaran negara untuk memburu kejayaan.

Dibuka pada 2011, Velodrom Izu merupakan satu-satunya velodrom tertutup 250 meter berpermukaan kayu di Jepun dan terkenal dengan reka bentuk trek yang mencabar serta memerlukan kombinasi kelajuan, kekuatan dan keberanian untuk menakluknya. – UTUSAN

The post Izu bukan gelanggang asing buat skuad negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved