
KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memaklumkan Datuk Seri Najib Tun Razak lega selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan beliau menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn. Bhd. secara tahanan rumah di Langgak Duta di sini secara serta-merta.
Peguam yang mewakili Perdana Menteri keenam itu, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah berkata, perintah yang dikeluarkan mahkamah hari ini merupakan satu keputusan yang dinantikan.
”Ia satu kelegaan muktamad yang besar bagi beliau (Najib). Saya fikir beliau layak mendapat perintah ini kerana sudah melepasi 50 peratus tempoh pemenjaraan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mohamed Shafee menegaskan, perintah tahanan rumah ini masih berstatus pemenjaraan di bawah undang-undang.
”Beliau tetap tidak boleh meninggalkan rumah melainkan mendapat kebenaran khas atau atas sebab-sebab tertentu yang munasabah,” katanya.
Sementara itu, berhubung terma syarat khususnya tahanan rumah, pihak peguam dan wakil beliau maklum bahawa perincian penuh akan dibacakan kepada Najib di penjara kelak.
Dalam pada itu, Mohamed Shafee berkata, pihak pembelaan merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana mempertimbang dengan teliti berhubung permohonan perintah tahanan di rumah.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Najib akan menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta secara serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Aslam Zainuddin mengeluarkan perintah pelepasan baharu sekali gus membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Najib tidak boleh tinggalkan rumah kecuali dengan kebenaran khas – Peguam appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)

