Badan ulama minta lelaki Islam tidak pakai pakaian wanita rai kemerdekaan

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 2:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Badan ulama minta lelaki Islam tidak pakai pakaian wanita rai kemerdekaan

JAKARTA: Badan ulama Islam tertinggi Indonesia memberi amaran kepada lelaki supaya tidak memakai pakaian wanita ketika sambutan Hari Kemerdekaan.

Sebelum ini, sudah menjadi tradisi sekian lama bagi lelaki memakai pakaian wanita ketika bermain bola sepak sebagai sebahagian daripada acara hiburan tahunan.

Di tengah-tengah peningkatan sentimen anti-lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di negara majoriti Muslim di Asia Tenggara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang berpengaruh berkata dalam satu kenyataan bahawa perbuatan tersebut adalah haram atau dilarang.

MUI berkata, campur tangan itu merupakan usaha untuk mencegah kempen terselindung gerakan Lesbian, Gay, Sodomi dan Percabulan (LGSP),  singkatan yang dipromosikannya sebagai alternatif kepada istilah LGBT.

Setiap tahun, rakyat Indonesia menyertai pelbagai permainan dan perarakan untuk meraikan pengisytiharan kemerdekaan negara itu pada 17 Ogos 1945 selepas berabad-abad dijajah.

Di seluruh kepulauan Indonesia, orang ramai mengambil bahagian dalam acara tarik tali, perlumbaan dalam guni dan pertandingan makan keropok, memanjat tiang yang disapu minyak serta menghadiri perarakan kenderaan berhias berwarna-warni.

Dalam sesetengah komuniti, lelaki memakai pakaian wanita dan hijab untuk bermain bola sepak, satu tradisi yang secara meluas dilihat sebagai bahan jenaka dan bukannya suatu kenyataan mengenai identiti jantina. 

Lelaki juga kadangkala berpakaian wanita untuk menyertai perarakan kemerdekaan.

Namun, dalam kenyataan minggu lalu, Suruhanjaya Fatwa MUI berkata, peningkatan perbuatan menyimpang seperti peserta lelaki memakai pakaian wanita dianggap telah membawa kepada pelanggaran syariah dan norma sosial.

Amaran itu turut dikenakan terhadap wanita yang memakai pakaian lelaki. – AFP

 

The post Badan ulama minta lelaki Islam tidak pakai pakaian wanita rai kemerdekaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved