Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Pihak polis telah menahan seorang pengamal perubatan alternatif yang disyaki mencabul seorang wanita ketika sesi rawatan dengan alasan kononnya mahu membuang gangguan jin.
Setakat ini, polis telah menerima 4 laporan yang berkait lelaki tersebut yang beroperasi di sebuah pusat rawatan yang terletak di Senawang itu.
Artikel berkaitan: Orang Ramai Diminta Buat Laporan Polis Jika Ada Pusat Perubatan Swasta Kenakan Caj Untuk Cucuk Vaksin
Artikel berkaitan: Lelaki Ditahan Dipercayai Cabul Seorang Remaja Perempuan Di PPS
Kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff, suspek merupakan seorang warga emas lelaki tempatan berusia 60-an.
“Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cabul membabitkan seorang pengamal rawatan alternatif di sebuah pusat rawatan di Senawang.”
“Susulan laporan yang diterima, siasatan dijalankan dengan merakam percakapan pengadu dan saksi-saksi serta memperoleh bahan bukti yang berkaitan.”

Jelasnya, suspek telah ditahan pada 27 Julai lalu, oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
“Suspek kemudian ditahan reman, namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan menyebarkan apa-apa maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.”
Sebelum ini, ada seorang wanita tampil di platform media sosial seorang pempengaruh yang mendakwa dirinya telah dicabul oleh seorang ‘Tok’.
Mangsa membuat laporan polis dan mendakwa ada beberapa wanita lain yang turut menjadi mangsa, kononnya suspek mampu mengubati mereka yang terkena gangguan jin.
Wanita tersebut mendakwa pada waktu mula rawatan, suspek ada membuat siaran langsung dalam talian dan tidak menyentuh mana-mana bahagian badan, tetapi tangannya akan mula meliar selepas sesi live itu ditamatkan, kononnya ada gangguan jin di bahagian itu.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






