
PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melantik Datuk Badrul Hisham Mohd sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa 3 Ogos 2026.
MPOB berkata, pelantikan beliau memperkukuh MPOB sebagai peneraju industri sawit global melalui pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalan, automasi, mekanisasi serta agenda kemampanan yang memenuhi jangkaan pasaran antarabangsa.
“Datuk Badrul Hisham mempunyai berpengalaman luas hampir tiga dekad dalam pentadbiran dan diplomatik, terlibat dalam penggubalan dasar, pembangunan sektor pertanian dan perladangan serta pengurusan strategik di pelbagai kementerian,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi sejak tahun 2025.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dan pernah berkhidmat di Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Sepanjang perkhidmatan beliau, Datuk Badrul Hisham memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar, pengurusan sumber, transformasi organisasi serta penyelarasan pelbagai inisiatif strategik di peringkat nasional.
“Beliau juga mempunyai pengalaman luas sebagai Ahli Lembaga Pengarah beberapa agensi kerajaan.
“Di bawah kepimpinan beliau, MPOB akan terus memperkukuh tiga teras strategik penyelidikan dan pembangunan iaitu Pendapatan Tinggi, Nilai Tambah dan Pembangunan Mampan.
“Ia di samping mempercepat pengkomersialan teknologi, meningkatkan produktiviti industri serta memperkukuh agenda kelestarian minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, MPOB kini berada pada tahap kematangan yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan industri sawit negara terus kekal berdaya saing dalam landskap global yang semakin mencabar.
“MPOB telah berkembang menjadi sebuah institusi yang matang dan berwibawa.
“Kini adalah masa untuk kita melangkah ke era baharu dengan memanfaatkan teknologi digital, automasi dan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mempercepat pemindahan teknologi kepada industri.
“MPOB akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi yang menerajui pembangunan industri sawit negara.
“Ia melalui pemberian penekanan kepada inovasi, kemampanan, ketelusan, kebolehjejakan serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif selaras dengan aspirasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK),” katanya. – UTUSAN
The post Badrul Hisham dilantik Ketua Pengarah baharu MPOB appeared first on Utusan Malaysia.






