liza03/08/2026 - 17:15 Datuk Badrul Hisham Mohd Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melantik Datuk Badrul Hisham Mohd sebagai Ketua Pengarah baharunya berkuat kuasa hari ini bagi menerajui usaha memperkukuh daya saing industri sawit negara menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalan, automasi, mekanisasi serta agenda kemampanan.
Pelantikan itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan MPOB sebagai peneraju industri sawit global dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, inovasi serta penyelesaian yang mampu memenuhi jangkaan pasaran antarabangsa.
Badrul Hisham berkata, MPOB kini berada pada tahap kematangan yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan industri sawit Malaysia terus kekal berdaya saing dalam landskap global yang semakin mencabar.
Menurut beliau, antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah memanfaatkan teknologi digital, automasi dan mekanisasi untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mempercepat pemindahan teknologi kepada pemain industri.
"MPOB telah berkembang menjadi sebuah institusi yang matang dan berwibawa. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke era baharu dengan memanfaatkan teknologi digital, automasi dan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta mempercepat pemindahan teknologi kepada industri," katanya dalam satu kenyataan.
Fokus Kepada Inovasi Dan Kemampanan
Beliau berkata, MPOB akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi yang menerajui pembangunan industri sawit negara dengan memberi penekanan kepada inovasi, kemampanan, ketelusan serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif selaras dengan aspirasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Sebelum dilantik ke jawatan itu, Datuk Badrul Hisham berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) di Kementerian Ekonomi sejak 2025.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), selain berkhidmat di Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Sepanjang hampir tiga dekad perkhidmatan dalam sektor awam, beliau memainkan peranan penting dalam penggubalan dasar, pembangunan sektor pertanian dan perladangan, pengurusan strategik, transformasi organisasi serta penyelarasan pelbagai inisiatif strategik di peringkat nasional.
Beliau turut mempunyai pengalaman luas sebagai Ahli Lembaga Pengarah beberapa agensi kerajaan.
Perkukuh Tiga Teras Strategik
Di bawah kepimpinan beliau, MPOB akan terus memperkukuh tiga teras strategik penyelidikan dan pembangunan, iaitu Pendapatan Tinggi, Nilai Tambah dan Pembangunan Mampan bagi memastikan industri sawit negara terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.
Pada masa sama, MPOB akan mempercepat pengkomersialan teknologi yang dibangunkan, meningkatkan produktiviti industri serta memperkukuh agenda kelestarian minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.
Usaha itu diharap dapat membantu industri sawit negara menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah, meningkatkan pendapatan pemain industri serta memastikan minyak sawit Malaysia terus diterima di pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan, inovasi dan kecekapan operasi. - DagangNews.com






