Bagi alasan jumpa anak, lelaki ditangkap khalwat bersama bekas isteri

4 Sep 2025 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota penguat kuasa JAINJ menyerbu pasangan yang berkhalwat di sebuah rumah di Kempas Johor Bahru. - Foto JAINJ

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 30-an ditahan berkhalwat bersama bekas isterinya dalam serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah di Kempas di sini awal pagi Khamis.

Menurut JAINJ, serbuan kira-kira jam 1 pagi itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

Lelaki itu dilaporkan memberi pelbagai alasan termasuk mendakwa hanya mahu makan malam, mencuci pakaian serta melawat anak.

"Pemeriksaan penguat kuasa menemui seorang wanita dan lelaki berkenaan. Hubungan mereka sebelum ini adalah suami isteri dan telah bercerai talak satu setahun lepas.

"Turut ditemui dalam rumah adalah seorang anak. Apabila ditanya apa tujuan datang, dia mengatakan minta tolong isteri basuh baju dan tumpang makan malam saja. Selain itu dia datang nak tengok anak," menurut kenyataan.

Menurut kenyataan itu, penguat kuasa menasihatkan pasangan berkenaan yang dimaklumkan sering kali bertemu supaya segera menikah semula.

Jika sabit kesalahan khalwat, pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.