
MELAKA – Cubaan sindiket dadah menyeludup bahan kimia dipercayai digunakan sebagai prekursor bagi pemprosesan dadah bernilai hampir RM4.958 juta berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Rampasan itu dilakukan menerusi rondaan rutin aset Maritim Malaysia pada pukul 9.06 malam di pesisir Pantai Klebang, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu merupakan rampasan kedua direkodkan pihaknya membabitkan penyeludupan bahan berkaitan dadah melalui laluan laut.
“Pasukan telah mengesan enam kotak dibalut plastik hitam pada pukul 9.30 malam dan hasil pemeriksaan menemukan 67 botol cecair bahan kimia yang dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik. Nilai rampasan bahan tersebut bagi pasaran gelap dianggarkan hampir RM4.958 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Salehuddin berkata, tiada tangkapan dibuat di lokasi kejadian kerana dipercayai suspek telah meninggalkan bahan terbabit selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, manakala kesemua barang rampasan dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana membabitkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan bagi tujuan penghasilan dadah berbahaya.
“APMM akan terus memperhebatkan rondaan, risikan serta kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bahan pemprosesan dadah RM4.958 juta dirampas di Klebang appeared first on Kosmo Digital.




