Baja lewat tiga bulan jejas pesawah Perlis, Kedah

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 6:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Baja lewat tiga bulan jejas pesawah Perlis, Kedah

KUALA LUMPUR: Kelewatan pengagihan baja sehingga tiga bulan kepada pesawah di Perlis dan Kedah adalah isu yang serius yang perlu disiasat segera termasuk kaedah pengagihan tender berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, isu berkenaan melibatkan hampir 10,000 pesawah di Perlis di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 1, selain hampir 35,000 pesawah di Kedah.

Menurutnya, kelewatan bekalan baja itu berisiko menjejaskan hasil pengeluaran dan kualiti padi kerana tanaman tidak menerima baja secukupnya.

“Baja, kelewatan tiga bulan, tiga bulan lewat. Yang ini harus ditangani, disemak bagaimana kaedah pengagihan tender tersebut berlaku.

“Sekarang yang membantunya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), sebab syarikat yang dilantik tidak mampu selesaikan urusan ini,” katanya ketika membahaskan usul Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Fathul Bari berkata, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan memandangkan kawasan Perlis dan Kedah di bawah MADA menyumbang sebanyak 38 peratus pengeluaran beras negara.

“Perlis dan Kedah di bawah MADA menyumbang 38 peratus pengeluaran beras dalam negara kita. Jangan tengok Perlis kecil.

“Jadi ini soal serius. Telitilah soal ini,” katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat penelitian terhadap perkara berkenaan, namun mahu punca sebenar kelewatan itu disiasat secara menyeluruh.

“Pergilah siasat betul-betul. Periksa kenapa hal seperti ini boleh berlaku.

“Kelewatan ini menyebabkan dua perkara, pertama hasil kurang tentunya dan kedua, kualiti akan jadi masalah sebab tak cukup baja,” katanya. – UTUSAN

The post Baja lewat tiga bulan jejas pesawah Perlis, Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved