
KUALA LUMPUR: UMNO perlu meletakkan kepentingan dan kelangsungan parti sebagai keutamaan dalam setiap rundingan kerjasama politik bagi mengelak pengalaman lalu berulang.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, sebarang perundingan selepas ini perlu dibuat dengan pendirian yang jelas dalam satu perjanjian.
Menurutnya, pengalaman kerjasama UMNO dengan Bersatu dan Pas sebelum ini perlu dijadikan pengajaran terutama apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah memberikan ruang kepada Presiden Bersatu ketika itu untuk memimpin tanpa sebarang syarat.
“Kita berikan dengan ikhlas, kemudian dibalas dengan tuba. Itu pada waktu itu. Kali ini rundingan-rundingan yang berlaku, letakkan hak kita, survival kita di depan.
“Ini hak survival UMNO, hak kita. Kita berhak menuntut hak kita. Ini adil,” katanya ketika membahaskan usul Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Fathul Bari berkata, UMNO tidak boleh lagi bermudah-mudah dalam sesuatu perundingan, sebaliknya perkara yang dipersetujui perlu dimaktubkan bagi memastikan kepentingan parti terpelihara.
“Ini realiti perundingan. Jangan bermudah-mudahan. Perundingan itu termaktub, dimaktubkan, diakadkan supaya tidak ada lagi pengkhianatan, walaupun kita tahu pengkhianatan ini boleh berlaku.
“Tetapi sekurang-kurangnya UMNO ada pendirian, UMNO ada kekuatan, UMNO ada kejantanan. Ini yang penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, prinsip keadilan juga perlu menjadi asas dalam hubungan UMNO bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan memandangkan terdapat perjanjian dan persefahaman antara parti-parti yang membentuk kerajaan.
Menurutnya, Ahmad Zahid sebelum ini dilihat perlu berhati-hati dalam menyuarakan pendirian kerana perlu menjaga adab dan etika sebagai salah sebuah parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan Ucapan Dasar Presiden UMNO kali ini sebagai antara ucapan terbaik yang pernah didengarnya.
“Ini ucapan yang lahir daripada hati dan perasaan. Ini ucapan yang lahir daripada peristiwa tekanan demi tekanan yang diberikan oleh kerajaan ini kepada kita. Ini realiti.
“Nak hukum pesalah, nak buat siasatan, silakan. Tapi kena adil. Jadi hari ini pun kalau nak siasat, siasat dengan adil. Kita tak ada masalah,” katanya. –UTUSAN
The post UMNO jangan mudah dalam rundingan politik appeared first on Utusan Malaysia.






