
Kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan subsidi FlySiswa daripada RM400 kepada RM500, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewamtu pembentangan Belanjawan 2027.
Diperkenalkan pada 2023, inisiatif FlySiswa menyediakan bantuan penerbangan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang perlu melakukan perjalanan antara negeri melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Secara khusus, FlySiswa disediakan untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung, dan begitu juga sebaliknya. Dengan peningkatan nilai subsidi ini, lebih 60,000 pelajar universiti awam dijangka menerima manfaat, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan ketika pulang ke kampung semasa cuti semester atau kembali ke kampus.

Selama ini, bantuan FlySiswa disalurkan dalam bentuk kredit baucar digital melalui syarikat penerbangan tempatan yang mengambil bahagian.
Antara syarikat penerbangan yang menyertai inisiatif ini termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Firefly.
Selain FlySiswa, kerajaan turut mengesahkan bahawa pas perjalanan tanpa had My50 untuk Rapid KL akan diteruskan pada tahun hadapan. Kerajaan juga bakal memperkenalkan MyKomuter50 yang baharu untuk pengguna perkhidmatan KTM Komuter.






