
MENGIKUTI jejak langkah bapanya sebagai Ironman, Ahmad Dani Amir Fariz, 19, membuktikan kebolehan dirinya apabila baru-baru ini berjaya menamatkan Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Nice, Perancis dengan catatan masa enam jam 44 minit 21 saat.
Ahmad Dani dilaporkan sebagai peserta termuda dari Malaysia yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama melayakkan diri ke kejohanan bertaraf dunia itu.
Ia merupakan penyertaan ketiga Ahmad Dani dalam acara Ironman 70.3 yang mana kali pertama di Langkawi, Kedah pada 2025 dan kedua, Ironman Desaru, Johor pada 2026 untuk kategori 18 hingga 24 tahun.
Lebih manis, penyertaan Ironman Langkawi pada 2025 telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dia berjaya mendapat tempat ketujuh dengan catatan masa enam jam tiga saat, sekali gus melayakkannya ke Kejohanan Dunia Ironman di Perancis pada 13 September lalu.
Menurut pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, minatnya dalam sukan triatlon mula tumbuh sejak berusia 15 tahun apabila terinspirasi dengan kejayaan bapanya, Dr. Amir Fariz Zakaria iaitu seorang ironman yang juga pernah sertai kejohanan dunia di Nice pada 2023.
“Saya saksikan sendiri bagaimana ayah berlatih dan menghabiskan acara ke garisan penamat sehingga saya menanam cita-cita untuk jadi sepertinya suatu hari nanti.
“Tidak sangka peluang itu datang secepat ini apabila percubaan pertama mengikut sukan triatlon di Langkawi itu melayakkan saya ke peringkat kejohanan dunia bersama enam lagi wakil negara mengikut kategori masing-masing.
“Saya satu-satunya peserta termuda mewakili Malaysia dan juga IPTA yang pertama melayakkan diri ke kejohanan bertaraf dunia ini,” katanya kepada K-Kampus.
Jelas Ahmad Dani, pada kejohanan tersebut dia perlu bersaing sangat sengit dengan 200 orang peserta dalam kategori 18 hingga 24 tahun dari pelbagai negara. Ia menyaksikan peserta dari seluruh dunia berenang sejauh 1.8 kilometer (km), berbasikal 90km dan berlari 21km.
“Pengalaman mengikuti kejohanan dunia di Nice ini sangat berharga bagi saya dan mencabar kerana bentuk muka buminya,” katanya.
Baginya segmen berbasikal paling mencabar kerana perlu menaiki bukit yang curam berketinggian 1,100 meter dari paras laut dengan kayuhan sejauh 45km dan selepas itu perlu turun ke bawah.
“Acara berbasikal ini banyak mengambil tenaga saya dan rasa sangat penat sehingga mengalami detik sukar untuk melakukan larian. Tetapi dalam otak ketika itu hanya mahu sampai ke garisan penamat, sudah tidak fikir hendak kejar masa atau kedudukan nombor,” cerita anak sulung daripada empat beradik itu.
Untuk kejohanan tersebut, Ahmad Dani meletakkan sasaran bawah enam jam tetapi kayuhan berbasikal yang mencabar itu membuatkan kakinya terasa kejang, kepenatan dan kehabisan tenaga.
Jelas Ahmad Dani, walaupun kepenatan dan kehabisan tenaga tetapi dia gagah berjuang menuju ke garisan penamat, apatah lagi apabila melihat wajah ibu bapanya yang turut hadir membuatkan semangatnya berkobar-kobar.
“Pendorong terkuat saya ketika itu adalah ibu dan ayah yang menunggu di garisan penamat, saya tidak dapat menahan tangis apabila terbayang segala pengorbanan mereka mempersiap saya dari awal hingga akhir.
“Ayah saya memberi sokongan dari segi latihan, ibu pula menguruskan segala keperluan termasuk menjaga makan dan minum, tambahan ibu ada pengalaman menguruskan ayah ketika dia menyertai kejohanan Ironman sebelum ini.
“Oleh itu, saya tidak mahu mengecewakan mereka dan mensia-siakan pengorbanan masa serta tenaga untuk latihan selama sembilan bulan, jadi saya teruskan larian 21km tanpa henti,” kata pemuda berasal dari Kajang, Selangor itu.
Tambah Ahmad Dani, latihan selama sembilan bulan itu banyak mengajar dirinya untuk lebih cekal dan berdaya tahan tinggi kerana walaupun kita kepenatan, badan sebenarnya masih lagi ada tenaga untuk bergerak ke garisan penamat.
Katanya lagi, untuk latihan Ironman dia memperuntukkan masa 10 jam seminggu iaitu bermula pukul 6.30 pagi atau lewat petang mengikut kesesuaian jadual kuliah.

“Sepanjang latihan itu saya perlu berhati-hati supaya tidak tercedera dan sebagai salah satu langkah adalah melakukan gerakan pemanasan badan, lebih-lebih lagi ketika waktu hampir dengan kejohanan apabila saya perlu berlatih lebih keras lagi.
“Alhamdulilah sepanjang latihan saya tidak mengalami sebarang kecederaan yang boleh membantutkan penyertaan di kejohanan dunia itu,” kongsinya yang juga berpengalaman sebagai jurulatih renang kanak-kanak.
Bagi Ahmad Dani, keseronokan sukan triatlon ini bukan hanya menjadi hobinya semata-mata tetapi ia memberi peluang kepadanya untuk meluangkan masa bersama bapanya itu yang bertugas sebagai Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Ortopedik di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
“Nak jumpa dengan ayah agak susah kerana jadual kerjanya yang padat. Dia pergi kerja sebelum subuh dan balik selepas isyak, saya pula sibuk belajar serta tinggal di kolej kediaman UKM.
“Jadi, sukan ini menyatukan kami apabila hujung minggu saya dan ayah akan berbasikal bersama-sama, saya mahu menjadikannya momen yang berharga selagi diberi kesempatan hayat dikandung badan kerana tidak semua orang bertuah mempunyai figura ayah dalam hidup mereka,” tuturnya sambil memberitahu adik ketiganya turut meminati sukan triatlon.
Walaupun aktif dalam sukan triatlon, Ahmad Dani meletakkan pelajaran nombor satu dan juga tidak melepaskan peluang menimba pengalaman sebagai pelajar universiti dengan menyertai pelbagai program bagi memberi nilai tambah kepadanya untuk bergelar peguam kelak.
“Sebagai pelajar dan juga atlet triatlon menuntut saya untuk menyusun jadual dengan baik kerana saya juga aktif dalam bidang pengacaraan, debat dan lakonan di samping memegang beberapa jawatan seperti Exco Kebajikan Kesatuan Mahasiswa UKM dan Exco Kebajikan Persatuan Mahasiswa Antirasuah.
“Waktu belajar pula saya memang fokus, lebih-lebih lagi pada minggu peperiksaan kerana bagi saya kejayaan akademik itu lebih penting berbanding aktiviti lain.
“Pengalaman latihan juga sangat berharga bagi saya kerana ia mematangkan saya dari segi pengurusan masa,” katanya yang berjaya meraih anugerah dekan dan juga dinobatkan tempat ketiga Debat Naib Canselor 2026.
Ahmad Dani juga mengucapkan terima kasih kepada pihak UKM yang banyak menyokongnya sepanjang menyertai sukan triatlon.
Besar impian Ahmad Dani untuk menyertai kejohanan dunia ‘full’ Ironman seperti bapanya selepas tamat belajar nanti. Pada masa sama dia juga mahu mengejar cita-citanya sebagai peguam dengan bertugas di firma guaman AmerBON.
“Dari segi Ironman, saya mengidolakan ayah saya dan dari segi kerjaya saya mengidolakan Datuk Amer Hamzah Arshad iaitu pemilik firma guaman AmerBON kerana beliau bukan sahaja seorang peguam yang hebat tetapi aktif dalam dunia Ironman.
“Kedua-dua figura hebat ini sangat memberi kesan besar dalam hidup dan kejayaan saya pada hari ini,” katanya yang berpegang kepada prinsip hidup, utamakan keluarga dan Allah semuanya akan berjalan dengan baik.
The post Bakal peguam cipta sejarah di Ironman dunia appeared first on Kosmo Online.




