
SEPANG – Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen muncul sebagai pelumba terpantas bagi sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Bahrain yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Juara dunia empat kali itu melakukan catatan masa sepusingan 1 minit 37.520 saat (s) pada sesi latihan bebas pertama, namun dia sekadar mencatat 1:37.785s ketika sesi kedua yang berakhir sebentar tadi.
Prestasi dipamerkan Verstappen jelas menunjukkan dia masih memiliki sentuhan terbaik di Sepang, lebih-lebih lagi dia merupakan pelumba terakhir yang memenangi GP Malaysia di litar tersebut sembilan tahun lalu.
Catatan masa dilakukan pelumba Belanda itu jelas memberikan petanda positif buat Verstappen menjelang perlumbaan sebenar yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.
“Saya fikir kami mengharungi permulaan cukup baik untuk minggu perlumbaan di sini kerana Sepang merupakan satu litar yang sukar, terutamanya dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan tayar cepat haus.
“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, jadi sukar untuk cakap sama ada kami buat progres ataupun tidak. Saya boleh katakan sesi kedua lebih redup berbanding sesi pertama,” kata Verstappen.
Sementara itu, pelumba Ferrari, Charles Leclerc mengungguli sesi kedua menerusi catatan masa 1:37.528s, namun masih belum mampu mengatasi catatan masa Verstappen dengan perbezaan 0.008s.
Catatan masa dibuat pada sesi latihan hari ini pastinya mampu menjadi kayu ukur buat setiap pelumba menjelang sesi kelayakan esok yang dijangka menjanjikan aksi cukup sengit bagi merebut petak hadapan. – KOSMO! ONLINE
The post GP Bahrain: Verstappen pelumba terpantas hari pertama appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] ‘Bang jangan cakap panas, petang race dalam hujan pula’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-02-at-5.04.37-PM-1024x768.jpeg)


