Bakar Pekerja Kedai Nombor Ramalan, Pemandu E-Hailing Didakwa Cuba Membunuh

24 Aug 2026 • 3:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bakar Pekerja Kedai Nombor Ramalan, Pemandu E-Hailing Didakwa Cuba Membunuh

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang pekerja kedai nombor ramalan.

Tertuduh didakwa menyimbah mangsa dengan petrol sebelum membakarnya, sehingga wanita itu mengalami kecederaan melecur tahap tiga yang serius.

Ang Kam Tong, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh Gan Siew Teen, 62.

Mengikut pertuduhan, Ang didakwa menggunakan petrol untuk membakar mangsa di sebuah premis nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, kira-kira jam 7.51 pagi pada 9 Ogos lalu.

“Tidak bersalah,” katanya ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Surita Budin.

Ang didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff, membantah permohonan jaminan dengan alasan mangsa mengalami kecederaan melecur tahap tiga yang serius, selain tertuduh didakwa cuba melarikan diri ketika ditahan.

Bagaimanapun, peguam bela, Lee Keng Fatt, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Menurutnya, Ang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan tidak mempunyai pendapatan tetap, selain belum berkahwin serta mempunyai adik-beradik yang berkemungkinan boleh bertindak sebagai penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 September ini bagi penyerahan dokumen. - Getaran, 24 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved