

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita di sebuah premis nombor ramalan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh.
Bagaimanapun tertuduh Ang Kam Tong,59, yang merupakan pemandu e-hailing itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa cuba membunuh Gan Siew Teen, 62, dengan cara membakar menggunakan minyak petrol sehingga mengakibatkan kecederaan serius.
Kesalahan itu dilakukan sebuah premis nombor ramalan di Taman Pusat Kepong di sini pukul 7.51 pagi pada 9 Ogos lalu yang didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawa seksyen dan akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd. Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
“Kecederaan tahap kebakaran mangsa adalah tahap tiga selain tertuduh turut melarikan ketika cuba ditangkap,” kata Nur Shakila.
Bagaimanapun Lee Keng Fatt yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan belum lagi dibuktikan bersalah.
“Tertuduh merupakan pemandu pemandu e-hailing dengan pendapatan tidak tetap,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Surita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 25 September ini ditetapkan sebutan semula kes.
Terdahulu Kosmo! melaporkan selepas sembilan hari diburu, polis berjaya menahan seorang pemandu e-hailing berusia 59 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita di sebuah premis nombor ramalan di Kepong, pada 9 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki tempatan itu ditahan semalam bagi membantu siasatan kes mendatangkan cedera parah terhadap mangsa.
Menurutnya, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Ujar Fadil, hasil siasatan juga mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut ekoran tidak puas hati terhadap mangsa.
Kata beliau, polis merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian antaranya sebuah botol minuman berisi cecair disyaki minyak petrol, topi keledar, baju kemeja serta sebuah motosikal Yamaha 135LC.
Barangan lain yang turut dirampas ialah satu rangkai kunci motosikal berserta cukai jalan sebelum kesemua barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang wanita berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter sebuah premis nombor ramalan di Taman Pusat Kepong disimbah cecair disyaki petrol sebelum dibakar oleh seorang lelaki.
Mangsa mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus pada tubuh dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan kritikal tetapi stabil.- KOSMO! ONLINE
The post Pemandu e-hailing bakar wanita dituduh cuba membunuh appeared first on Kosmo Digital.




