Pemandu e-hailing didakwa bakar pekerja kedai nombor

24 Aug 2026 • 12:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemandu e-hailing didakwa bakar pekerja kedai nombor

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Ang Kam Tong, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, dia cuba membunuh pekerja premis itu, Gan Siew Teen, 62, dengan cara membakar wanita itu menggunakan minyak petrol sehingga menyebabkan kecederaan serius.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong pada pukul 7.51 pagi, 9 Ogos 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd. Shariff tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin, selain tertuduh pernah cuba melarikan diri.

“Saya percaya tertuduh telah menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa iaitu kebakaran tahap tiga.

“Terdapat juga laporan tertuduh pernah cuba melarikan diri sewaktu ditangkap dan ini adalah satu cubaan melarikan diri,” katanya.

Peguam Lee Keng Fatt memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai keluarga yang boleh menjamin.

“Saya memohon agar tertuduh diberikan jamin berdasarkan prinsip undang-undang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Beliau masih belum berumah tangga. Namun, mempunyai adik beradik yang mungkin boleh menjamin. Saya juga telah dilantik oleh ahli keluarganya,“ katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 25 September ini.

Pada 9 Ogos lalu, seorang wanita warga emas melecur selepas disimbah cecair disyaki petrol sebelum dibakar seorang lelaki tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.

Kejadian sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan wanita yang juga penjaga kaunter berumur 62 tahun di premis berkenaan cedera akibat melecur kira-kira 50 peratus pada seluruh badan. – UTUSAN 

The post Pemandu e-hailing didakwa bakar pekerja kedai nombor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved