
PETALING JAYA: Peluang bintang muda menyarung jersi Harimau Malaya sentiasa terbuka sekiranya mereka mampu memastikan tahap fizikal berada dalam keadaan terbaik mengikut tuntutan bola sepak antarabangsa.
Berbeza dengan saingan domestik, perlawanan di pentas antarabangsa menuntut kekuatan fizikal serta tempo permainan lebih tinggi dan pemain tidak boleh hanya bergantung kepada bakat semula jadi.
Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue menasihatkan pemain muda supaya melakukan persiapan lebih rapi, terutama dari aspek fizikal, bagi memastikan mereka bersedia mengambil alih tanggungjawab daripada barisan pemain sedia ada.
“Saya sudah dapat merasakannya ketika Piala Asia sebelum ini, malah ketika di Indonesia (Piala ASEAN FIFA) baru-baru ini juga tempo permainan lebih pantas dan pertembungan fizikal lebih kuat.
“Jadi, kita perlu bersedia untuk berdepan keadaan seperti itu kerana ia jelas berbeza dengan apa yang dilalui dalam Liga Super,” katanya.
Kapten Kuala Lumpur City (KL City) itu turut menegaskan pemain muda perlu melakukan latihan tambahan bagi meningkatkan kekuatan fizikal, selain menyesuaikan diri dengan corak pengadilan antarabangsa yang lebih membenarkan pertembungan fizikal selagi tidak melanggar peraturan perlawanan.
Dalam senarai 23 pemain Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang China dan Yemen pada 14 serta 17 November ini, terdapat lima pemain berusia 23 tahun ke bawah iaitu Haziq Aiman Esa, Ubaidullah Shamsul Fazili, Haziq Kutty Abba, G. Pavithran dan Fergus Tierney.
Kehadiran kelompok pemain muda itu membuka ruang untuk mereka membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa, namun persediaan fizikal menjadi antara aspek penting jika mahu terus bersaing dan mengukuhkan tempat dalam skuad kebangsaan.- UTUSAN
The post Bakat sahaja tidak cukup – Josue appeared first on Utusan Malaysia.






