
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan oleh peguam, Siti Kasim berhubung permohonan semakan kehakiman berkait perintah larangan perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’, empat tahun lalu.
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara menolak rayuan yang difailkan Siti atau nama penuhnya, Siti Zabedah Kasim dan seorang lagi peguam, S. Raveentharan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Ong Chee Kwan.
Pada 24 September 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman Siti yang mencabar keabsahan perintah larangan berhubung perhimpunan yang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki meletak jawatan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Ketua Hakim Negara) menolak permohonan itu selepas memutuskan perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 20 Januari 2022 yang melarang perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ itu, sah di sisi undang-undang.
Ketika membaca penghakiman Hakim Azhahari menyatakan, hak kebebasan bergerak di bawah Perlembagaan Persekutuan bukanlah mutlak kerana ia boleh dikenakan sekatan atas alasan tertentu termasuk kesihatan awam.
Kata hakim itu, hak untuk bergerak bebas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tidak muktamad, di mana perintah yang dikeluarkan adalah bertujuan bagi mengawal wabak Covid-19 daripada merebak.
Bagaimanapun, katanya, sekatan berkenaan tetap perlu dinilai dari aspek kewajaran dan perkadaran (proportionality).
“Sehubungan itu, kami tidak mendapati wujud sebarang unsur ketidakabsahan, tidak rasional atau ketidakwajaran yang nyata.
“Selain itu, atas alasan-alasan yang dinyatakan, perhimpunan itu sebenarnya tetap berlangsung dan pemohon pada akhirnya tidak dinafikan hak untuk menyertainya. Oleh itu, rayuan ditolak dan kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.
Tambah Hakim Azhahari, subseksyen 4 Seksyen 98 bukan remedi alternatif kerana tidak menyediakan badan atasan bebas untuk meneliti kesahan keputusan, sekali gus tidak menghalang semakan kehakiman.
“Apabila aduan adalah bahawa seorang majistret telah melampaui bidang kuasanya atau melanggar keadilan asasi, subseksyen 4 Seksyen 98 hanya membolehkan pegawai yang sama mempertimbangkan semula keputusannya. Ia tidak menyediakan badan atasan bebas untuk meneliti kesahan keputusan itu.
“Justeru, subseksyen 4 Seksyen 98 bukanlah remedi alternatif dan kewujudannya tidak menghalang permohonan semakan kehakiman,” katanya.
Siti dan Raveentheran selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya; Timbalan KPD Dang Wangi, Deputi Superintendan Muhammad Faizal Mohd Amir; Ketua Polis Negara; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia selaku responden.
Pada prosiding itu, Siti dan Raveentheran diwakili peguam, Kee Hui Yee manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali mewakili kesemua responden. – KOSMO! ONLINE
The post Rayuan Siti Kasim ditolak, perintah larangan ‘Tangkap Azam Baki’ kekal sah appeared first on Kosmo Digital.






