BAM yakin kemampuan Pearly-Thinaah di Jepun

12 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BAM yakin kemampuan Pearly-Thinaah di Jepun

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah masih dilihat sebagai prospek pingat negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, biarpun prestasi gandingan ranking No. 5 dunia itu tidak konsisten sejak kebelakangan ini.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, pasangan No. 1 negara itu tetap mempunyai keupayaan untuk mencabar barisan beregu terbaik dunia di temasya empat tahun sekali itu sekiranya berjaya kembali ke tahap permainan terbaik.

“Semua orang tahu kemam­puan Pearly-Thinaah. Kalau berada pada tahap terbaik, saya fikir mereka adalah pencabar pingat secara jujurnya.

“Tetapi untuk menjadi yang terbaik, banyak perkara perlu dilakukan terutama dari segi emosi, pemulihan dan beberapa aspek lain. Bukan mustahil, tetapi sudah tentu ia sukar,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM Bukit Kiara, semalam.

Menurut Rosman, antara perkara yang masih membelenggu Pearly ialah proses mendapatkan semula keyakinan selepas pulih daripada kecederaan, selain keinginan untuk segera kembali ke tahap terbaik yang ka­dang­kala menyebabkan pemain itu melakukan kesilapan, terutama ketika mata-mata penting.

“Kadangkala keinginan itu melebihi kemampuan. Ketika mata penting, dia (Pearly) mahu menang dan akhirnya berlaku kesilapan. Saya faham bukan dia mahu melakukan begitu dan dia juga tahu perkara itu perlu di­atasi sekarang.

“Pemain yang baru pulih daripada kecederaan juga biasanya ada perasaan takut untuk mela­kukan pergerakan tertentu atau apabila terasa sedikit sakit, mereka akan menahan diri. Ini satu proses dan kami perlu te­ruskan latihan, fisioterapi serta pemulihan sehingga perasaan terhadap kecederaan itu sema­kin berkurangan,” jelasnya.

Rosman bagaimanapun menegaskan barisan kejurulatihan tidak mahu merendahkan ekspektasi terhadap Pearly-Thinaah dan akan terus melihat mereka sebagai antara pasangan terbaik dunia meskipun mengakui tekanan serta perasaan bimbang terhadap prestasi semasa adalah sesuatu yang normal.

The post BAM yakin kemampuan Pearly-Thinaah di Jepun appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved