Sukan Asia: Pendedahan terbaik buat pemain muda

11 Sep 2026 • 3:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sukan Asia: Pendedahan terbaik buat pemain muda

KUALA LUMPUR: Penampilan sulung skuad badminton wanita negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, selepas lapan tahun tidak berbuat demikian dilihat sebagai satu pendedahan yang baik buat pemain muda.

Ketua jurulatih beregu wanita Malaysia, Rosman Razak berkata, walaupun Malaysia tidak mempunyai pasukan yang kuat, tetapi, temasya empat tahun sekali itu mampu memberi pengalaman berharga, lebih-lebih lagi majoriti mereka terdiri dalam kalangan pemain berusia bawah 22 tahun.

“Terima kasih kepada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebab pada awal memang saya rasa kita tak hantar skuad wanita, tapi, kita juga tak mahu mereka ketinggalan.

“Kita bukan pasukan yang kuat, tapi kalau kita tengok rata-rata pemain di bawah 22 tahun. Jadi, ia boleh dikatakan sebuah pasukan muda dan ini merupakan satu pendedahan yang baik beraksi pada temasya tahap tinggi,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pemain badminton kebangsaan di sini, hari ini.

Kali terakhir Malaysia mengirimkan skuad wanita di Sukan Asia ialah pada temasya 2018 dan bagi edisi 2026, BAM menyenaraikan rata-rata pemain muda seperti Eng Ler Qi, Oo Shan Zi, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan.

Selain pemain muda tersebut, pasukan wanita turut diperkuatkan dengan kehadiran beregu wanita No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah, dua wakil perseorangan, K. Letshanaa (No. 28 dunia) serta Wong Ling Ching (No. 37 dunia) dan dua pemain beregu campuran, Cheng Su Yin serta Shevon Jemie Lai (No. 11 dunia).

Menurut Rosman, pengurusan BAM berjaya diyakinkan bahawa para pemain berhak mendapat pendedahan sewajarnya, malah, ada dalam kalangan mereka menunjukkan peningkatan yang baik.

“Tetapi sama ada para pemain ini akan pergi di bawah kategori A atau B, biarlah pihak pengurusan yang putuskan. Apa yang penting mereka bersedia mengeluarkan peruntukan dan percaya kepada skuad wanita,” ujarnya.

Dalam masa sama, selaku jurulatih, Rosman juga berharap, gandingan muda seperti Zi Yu-Noraqilah dapat memanfaatkan peluang yang diberi kerana Sukan Asia seperti juga Olimpik yang hanya dianjurkan empat tahun sekali.

“Sebab lepas ni empat tahun lagi akan dianjurkan semula, jadi, kita harap mereka akan berkembang menjadi pemain yang lebih matang,” jelasnya. – UTUSAN

The post Sukan Asia: Pendedahan terbaik buat pemain muda appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved