Bandar Sepanyol larang burqa, niqab di kawasan awam

WorldPolitics
26 Sep 2026 • 5:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

burqa

LLEIDA: Bandar Lleida di timur laut Sepanyol meluluskan larangan pemakaian penutup muka penuh di kebanyakan kawasan awam semalam, dalam langkah yang menyasarkan pemakaian burqa dan niqab oleh sebahagian wanita Islam.

Larangan itu diluluskan ketika Sepanyol tidak mempunyai undang-undang peringkat kebangsaan yang melarang atau menyekat pemakaian kedua-dua pakaian berkenaan, berbeza dengan beberapa negara Eropah lain seperti Perancis, Portugal dan Belgium.

Lleida, ibu wilayah berpenduduk kira-kira 150,000 orang di Catalonia, terletak kira-kira 150 kilometer (90 batu) di barat Barcelona.

Bandar itu sebelum ini pernah melaksanakan larangan pemakaian penutup muka penuh di beberapa kawasan awam pada 2010, yang ketika itu menjadi langkah pertama seumpamanya di Sepanyol.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung Sepanyol membatalkan larangan berkenaan pada 2013 selepas sebuah persatuan Islam mencabar keputusan itu di mahkamah.

Mahkamah memutuskan larangan tersebut melanggar kebebasan beragama serta melampaui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Keputusan itu turut menyebabkan beberapa langkah sama yang dilaksanakan pihak berkuasa perbandaran lain dibatalkan.

Mesyuarat Dewan Perbandaran Lleida pada Jumaat meluluskan pindaan undang-undang perbandaran itu dengan undian 16-11, yang dirangka bagi mengelakkan masalah perundangan sama berulang.

Pindaan itu melarang orang ramai daripada berada atau bergerak di kawasan awam dengan barangan atau elemen yang menutup keseluruhan muka, tanpa menyebut secara khusus pemakaian burqa atau niqab.

Bagaimanapun, pindaan itu membenarkan pengecualian bagi kes berkaitan pelaksanaan hak asas, tempat ibadat serta ruang atau kegunaan yang menyaksikan amalan berkenaan diterima secara sosial.

Mereka yang melanggar undang-undang baharu itu boleh dikenakan denda.

Menurut pihak berkuasa bandar, Parti Sosialis Catalonia membentuk pakatan luar biasa bersama parti berhaluan kanan Vox dan parti pemisah Catalonia, Junts, bagi meluluskan pindaan berkenaan.

“Hidup bersama bermakna saling menghormati dan menghormati satu sama lain juga bermakna mematuhi peraturan,” kata Datuk Bandar Lleida daripada Parti Sosialis, Felix Larrosa, kepada Dewan Perbandaran.- AFP

The post Bandar Sepanyol larang burqa, niqab di kawasan awam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved