
KOTA TINGGI- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran meletakkan bendera merah dan papan tanda larangan mandi di pantai berarus deras, termasuk di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar yang menyaksikan tragedi empat remaja lemas walaupun ia bukan zon rekreasi awam.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengunjung dari luar mungkin tidak menyedari bahaya arus di pantai berkenaan sekali gus menganggapnya selamat untuk sebarang aktiviti air.
“Mungkin pengunjung luar pun kadang-kadang tak tahu dan kalau kita tengok khemah-khemah, campsite (tempat perkhemahan), dia tak ada langsung katakan ‘jangan berenang’ kan?
“Disebabkan itu saya nak minta tolong kalau boleh kepada Majlis Perbandaran Pengerang tolonglah walaupun bukan dalam bidang kuasa jajahan, tapi tolonglah letak signboard (papan tanda) dengan letak bendera merah,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni keluarga mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar hari ini.
Azalina turut menasihati pengunjung untuk tidak melakukan aktiviti di dalam air ketika ini sehingga hujung tahun berikutan angin kencang, ombak kuat dan arus deras.
Katanya, pantai di sepanjang kawasan Desaru merupakan laut laluan perdagangan dan mempunyai keadaan arus yang berbeza berbanding pantai di Terengganu, Mersing atau Tioman. – KOSMO! ONLINE
The post PBT disaran pasang bendera merah, papan tanda amaran di Pantai Tanjung Lompat appeared first on Kosmo Digital.






