Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di TikTok ucapan seorang pemuda buat bapanya yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-51.
Menerusi ucapan yang ditulis pada ruangan kapsyen, pemuda berkenaan, Mohamad Zulfithri Mohd Johari menzahirkan penghargaan buat bapanya, Mohd Johari Shafie yang telah banyak berkorban buat mereka sekeluarga dalam memberi kehidupan yang terbaik untuk dia dan adik-beradiknya.
Pemuda Bangga Dengan Pekerjaan Bapa Sebagai Pekerja Pembersihan, Besarkan Anak Sampai Berjaya
Jelas Mohamad Zulfithri, dia bangga dan tidak pernah malu dengan pekerjaan bapanya sebagai pekerja pembersihan.
“Sejak kecil sampai sekarang, saya tak pernah malu malah bangga bercerita dengan orang mengenai pekerjaan abah kerana ia kerja yang mulia,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Ucapan Hari lahir Tanda Penghargaan Si Anak Terhadap Pengorbanan Bapa
Kongsi Mohamad Zulfithri yang kini bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah kementerian, hantaran tersebut dimuat naik bagi meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini.
Malah, ia juga tanda penghargaan Mohamad Zulfithri terhadap pengorbanan bapanya yang telah membesarkan dia dari kecil sehingga dewasa.
Jelas pemuda berusia 25 tahun itu, dia tidak mungkin dapat sampai ke tahap ini tanpa pengorbanan bapa yang telah membesarkannya dengan hasil titik peluh sebagai pekerja pembersihan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak.
“Sudah 25 tahun abah bekerja di R&R itu malah dia masih mencari rezeki di situ sehingga kini.
“Abah buat kerja sambilan juga iaitu dengan ambil upah tukar tayar motosikal untuk cari duit lebih.
“Dulu, abah rajin kumpul tin dan pernah juga minta gaji pendahuluan daripada syarikat untuk menyara kami sekeluarga.
“Itu antara pengorbanan abah dan kenangan tak dapat dilupakan pula adalah waktu abah bawa pergi ke tempat kerjanya serta melihatnya membersihkan kawasan R&R,” jelasnya.

Mohamad Zulfithri Sifatkan Bapa Seorang Pendiam Tapi Tegas
Kongsi Mohamad Zulfithri yang merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, bapanya seorang pendiam namun tegas dalam mendidik anak-anak.
Malah, pesanan bapanya juga dijadikan pegangan untuk dia belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat menjejakkan kaki ke menara gading.
“Abah pernah pesan, belajar rajin-rajin kerana abah dan emak dulu tak mampu.
“Kata-kata itu yang memberi dorongan buat saya. Lagipun, saya anak sulung dan menjadi harapan dalam keluarga.
“Waktu di sekolah, saya tak dapat banggakan emak dan abah tapi bersyukur kerana terpilih menjadi Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika di kampus hingga berpeluang ke Turkiye juga Korea Selatan.
“Pada hari konvokesyen pada 25 November tahun lalu pula, saya dapat naik ke pentas untuk menerima anugerah kepimpinan jadi gembira kerana buat emak dan abah tersenyum waktu itu,” jelasnya.
Simpan Hasrat Mahu Beri Keselesaan Kepada Keluarga Serta Bawa Ibu & Bapa Ke Tanah Suci
Cerita Mohamad Zulfithri lagi, dia bersyukur kerana Allah SWT mengizinkannya merasai kasih sayang seorang bapa.
Malah dia berharap dapat berkongsi rezeki serta membahagiakan kedua orang tuanya.
“Sampai sekarang, abah hanya ada motosikal, tetapi selepas bekerja, saya dapat beli kereta dan bersyukur kerana boleh membawa emak dan abah berjalan dengan menaiki kenderaan itu.
“Kalau boleh, saya nak beri keselesaan buat keluarga dan bawa emak dengan abah ke Tanah Suci jika ada rezeki lebih satu hari nanti.
“Sekarang ini, saya bersyukur dengan apa yang ada kerana walaupun bukan hidup mewah tapi rezeki cukup buat kami sekeluarga.
“Buat orang di luar sana, jangan pernah malu dengan pekerjaan ibu dan ayah kerana setiap kerja itu mulia selagi mana ia bermanfaat serta datangnya daripada sumber halal,” katanya.
Kongsi Mohamad Zulfithri kepada BuzzKini, kedua-dua adiknya juga kini sedang menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi.
“Adik saya yang perempuan kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala adik lelaki saya pula sedang menyambung pengajian di Kolej Felcra Teluk Intan dalam jurusan perniagaan,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Hadiah Paling Bermakna! Anak Tukang Sapu Datang Dengan Uniform Kerja Buat Kejutan Sempena Hari Lahir Ibu [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Bangga & Sebak! Juruterbang Kongsi Kokpit Buat Pertama Kali Bersama Anak Sulung Terbang Ke Colombo [Video]






