
BANGKOK – Lebih 400 sekolah di Bangkok ditutup hari ini apabila banjir terus menjejaskan daerah-daerah di pinggir ibu kota meskipun cuaca dilaporkan semakin cerah, lapor laman berita Thaiger.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, banjir di Bangkok mulai reda selepas sistem tekanan rendah yang membawa hujan lebat ke ibu negara Thai selama dua hingga tiga hari itu bergerak ke Myanmar.
Hujan lebat mengakibatkan air beberapa terusan melimpah ke seluruh Bangkok.
Menurutnya, hujan lebat beralih ke arah Kanchanaburi dan Ratchaburi, dengan Bangkok kini dijangka menerima sekitar 10 hingga 20 milimeter hujan sehari.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran banjir akan mengambil masa untuk surut, terutamanya di kawasan kejiranan berhampiran terusan.
Semasa air dipam keluar, banjir dari kawasan sekitar terus mengalir ke dalam terusan dan memperlahankan proses saliran.
Antara kawasan paling teruk terjejas ialah komuniti Kheha Rom Klao yang didiami lebih 30,000 penduduk.
Banjir teruk yang melanda Bangkok telah mendorong ramai penduduk untuk meminta berpindah.
Pusat pemindahan pada mulanya didirikan di dalam kawasan komuniti terjejas, namun sukar untuk menampung jumlah mangsa yang begitu ramai. – AGENSI
The post Bangkok tutup lebih 400 sekolah appeared first on Kosmo Online.






