
GEORGE TOWN – Sindiket penipuan ‘gores dan menang’ dalam talian yang menyasarkan warga China dan Kemboja tumpas selepas polis menyerbu tiga unit banglo di sekitar Bayan Lepas di sini, pada 22 September lalu.
Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang itu telah membawa kepada penahanan 29 warga asing terdiri 19 warga China dan 10 warga Kemboja berusia antara 20 hingga 63 tahun
Ketua Polis Negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan pertama yang dijalankan di sebuah banglo di Teluk Kumbar, Bayan Lepas telah membawa kepada penahanan 14 lelaki warga China.
“Serbuan kedua di kawasan sama pula membawa kepada penahanan tujuh suspek terdiri daripada tiga lelaki China, seorang lelaki bersama tiga wanita Kemboja.
“Serbuan ketiga di sebuah banglo di kawasan sama, Barat Daya pula membawa kepada penahanan lapan suspek terdiri daripada dua lelaki China dan enam wanita Kemboja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan menerusi sesi siaran langsung di Facebook dengan menawarkan permainan ‘gores dan menang’ kepada mangsa.
“Suspek akan menawarkan kad gores dan menang kepada mangsa menerusi siaran langsung sebelum mangsa dimaklumkan memenangi hadiah berupa wang tunai.
“Bagaimanapun, mangsa kemudian diminta membuat bayaran kononnya bagi tujuan caj pemprosesan, cukai dan insurans menerusi pindahan wang menggunakan kod QR.
“Namun, selepas mangsa memasukkan wang ke dalam akaun diberikan, mangsa tidak lagi dapat mengeluarkan wang atau menerima hadiah seperti dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai telah menjalankan operasi antara empat hingga enam bulan dengan menyasarkan mangsa daripada warganegara yang sama.
Katanya, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan ketiga-tiga lokasi berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket yang sama berdasarkan modus operandi yang serupa.
“Polis merampas lebih 200 telefon bimbit, selain komputer riba, komputer meja, modem, dokumen, rekod pelanggan serta kad ‘gores dan menang’ dalam ketiga-tiga serbuan.
“Kesemua suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat terutama penduduk di kawasan perumahan mewah supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan.
“Jika terlihat ramai individu keluar masuk rumah atau premis, termasuk membuat pesanan makanan dalam jumlah yang banyak secara berulang, laporkan kepada polis supaya tindakan lanjut dapat diambil,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
The post Banglo mewah jadi ‘sarang’ sindiket gores dan menang appeared first on Kosmo Online.






