Sindiket gores dan menang didalangi warga China, Kemboja tumpas

1 Oct 2026 • 1:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sindiket gores dan menang didalangi warga China, Kemboja tumpas

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan gores dan menang dalam talian yang dipercayai didalangi warga China dan Kemboja susulan serbuan ke atas tiga buah banglo yang dijadikan pusat operasi mereka di Teluk Kumbar pada 22 September lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 29 suspek warga asing berusia antara 20 hingga 63 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Dalam serbuan pertama di Teluk Kumbar, 14 lelaki warga China telah ditahan manakala serbuan kedua di dua banglo berdekatan yang juga terletak di Teluk Kumbar pula membawa kepada penahanan tujuh lagi suspek yang terdiri daripada tiga lelaki warga China serta empat warga Kemboja termasuk tiga wanita.

“Serbuan seterusnya dilakukan di sebuah banglo di kawasan Bukit Belah, daerah Barat Daya dan membawa kepada penahanan lapan suspek terdiri daripada dua lelaki warga China dan enam wanita warga Kemboja,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut untuk tempoh antara dua hingga tiga bulan dengan menyewa banglo pada kos kira-kira RM10,000 sebulan dan mengubah suai premis berkenaan menjadi pusat operasi.

Menurutnya, suspek juga dipercayai memperoleh upah sehingga RM8,000 sebulan dan sindiket terbabit menjalankan penipuan menggunakan platform media sosial termasuk Facebook Live dan aplikasi LINE dengan menyasarkan mangsa di China serta Kemboja.

“Mereka akan membuat siaran langsung dan meminta mangsa supaya membeli kad gores dan menang. Mangsa kemudiannya dimaklumkan akan memenangi hadiah besar sebelum diminta membuat bayaran kononnya bagi tujuan pemprosesan, cukai dan insurans melalui kod QR. Bagaimanapun, hadiah yang dijanjikan tidak diterima dan wang berkenaan juga tidak dapat dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Dennis berkata, polis merampas lebih 200 telefon bimbit, 17 komputer riba, dua komputer meja, enam set modem atau router serta pelbagai dokumen dan rekod pelanggan selain kad gores dan menang, dokumen lesen atau pengesahan yang disyaki palsu serta peralatan studio dan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.

Beliau berkata, sebahagian daripada suspek yang ditahan juga didapati tidak memiliki pasport manakala kesemua suspek dipercayai tinggal di banglo berkenaan selain menjalankan operasi penipuan dari premis sama.

“Kesemua suspek kini masih dalam tahanan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek telah mendapat perintah reman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti dalang utama serta pihak lain yang terbabit dalam sindiket berkenaan. – UTUSAN

The post Sindiket gores dan menang didalangi warga China, Kemboja tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved