
GEORGE TOWN - Polis membongkar sindiket penipuan ‘gores dan menang’ dalam talian yang didalangi warga China dan Kemboja menerusi serbuan serentak di tiga banglo mewah di Teluk Kumbar serta Bukit Belah, pada 22 September lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, seramai 29 warga asing berusia antara 20 hingga 63 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket berkenaan.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Teluk Kumbar, polis menahan 14 lelaki warga China.
“Serbuan kedua di dua banglo berhampiran di kawasan sama pula membawa kepada penahanan tujuh lagi suspek, terdiri daripada tiga lelaki warga China dan empat warga Kemboja termasuk tiga wanita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah banglo di kawasan Bukit Belah, Daerah Barat Daya, yang menyaksikan penahanan lapan individu terdiri daripada dua lelaki warga China dan enam wanita warga Kemboja.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama dua hingga tiga bulan dengan menyewa banglo berkenaan pada kadar kira-kira RM10,000 sebulan sebelum menjadikannya sebagai pusat operasi.
Operator sindiket dipercayai menerima gaji sehingga RM8,000 sebulan bagi menjalankan siaran langsung secara penipuan menerusi platform media sosial seperti Facebook Live dan LINE, dengan sasaran utama mangsa di China dan Kemboja.
“Suspek menjalankan siaran langsung dan meminta mangsa membeli kad gores dan menang. Mangsa kemudiannya dimaklumkan kononnya mereka memenangi hadiah utama sebelum diminta membuat bayaran melalui kod QR atas alasan untuk tujuan pemprosesan, cukai dan insurans.
“Bagaimanapun, hadiah dijanjikan tidak pernah diterima, manakala wang yang dibayar juga tidak dapat dikeluarkan,” katanya.
Dalam operasi itu, polis merampas lebih 200 telefon bimbit, 17 komputer riba, dua komputer meja, enam set modem, dokumen lesen palsu, kad calar serta peralatan studio untuk menjalankan siaran langsung.
Beberapa suspek turut didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal di premis sewa yang dijadikan lokasi operasi sindiket.
“Kesemua suspek masih dalam tahanan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan, selain Seksyen 6(1) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Kesemua 29 suspek direman sehingga 13 Oktober ini bagi membolehkan polis mengesan dalang sindiket serta mengenal pasti individu lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan. - Getaran, 1 Oktober 2026






