
PUTATAN: Penduduk di daerah ini bakal menikmati kemudahan bangunan baharu Majlis Daerah Putatan (MDP) bernilai RM4.9 juta yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pembinaan bangunan itu di tapak belakang Dewan Sri Putatan bermula Isnin (8 Sept).
Katanya, projek berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik dan efisien.
“Ini adalah satu lagi langkah positif bagi daerah yang sedang pesat membangun dalam pelbagai sektor, selaras dengan beberapa pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini serta meningkatnya keperluan penduduk,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu di belakang Dewan Sri Putatan, Selasa.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Parlimen Putatan berkata, pejabat baharu MDP akan menyediakan persekitaran kerja yang lebih selesa dan kondusif, bukan sahaja untuk kakitangan Majlis tetapi juga masyarakat setempat.
“Pejabat baharu ini merupakan pelaburan penting dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat itu.
Menurut beliau, pejabat sedia ada Majlis Daerah tidak lagi mampu menampung operasi yang semakin kompleks serta keperluan masyarakat yang kian meningkat.
“Dari segi demografi, ekonomi dan infrastruktur, kita dapat melihat transformasi Putatan daripada sebuah daerah kecil kepada pusat pembangunan penting di Sabah.
“Justeru, pertambahan penduduk serta peluasan perumahan dan kemudahan asas secara langsung menuntut infrastruktur kerajaan tempatan yang lebih baik,” jelasnya.
Turut hadir, Adun Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Sahari; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Jamili Nais; Pegawai Eksekutif MDP, Ahmad Helmy Mohd Taiban; dan Naib Pengerusi MDP, Ir. Ummar Ariff Abu Bakar.




