Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya bagi menjalani tahanan rumah.
Sidang media dibuat di MOT
Menerusi sidang media yang dikongsikan di YouTube Sinar Harian, pengumuman itu dibuat di Kementerian Pengangkutan (MOT), sebentar tadi.
Cerminkan pendirian parti
Ujarnya, peletakkan jawatan tersebut merupakan satu bentuk pendirian DAP terhadap keputusan tahanan rumah yang dikenakan terhadap Najib jika berjaya membayar denda RM50 juta yang telah dinyatakan mahkamah sebelum ini.
“Peletakan jawatan ini mencerminkan pendirian parti saya, DAP, terhadap keputusan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib.
“DAP menghormati kuasa dan prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun demikian, kami berpandangan bahawa pemberian tahanan rumah kepada Najib, yang terbabit dalam skandal yang membawa kesan begitu besar kepada ekonomi dan imej negara, berpotensi membawa satu mesej tidak wajar kepada generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini, pada 29 September lalu, Loke memaklumkan bahawa beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun diminta untuk meneruskan tugas buat sementara waktu.
Keputusan berkenaan dibuat selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO hari ini mengesahkan pembayaran denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Perkembangan itu sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah seperti yang diperuntukkan dalam pengampunan bersyarat berkenaan.
Sumber: YouTube Sinar Harian

![[VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/NAJWA-NOORYANA-NAJWA-1024x768.jpeg?v=1793986719)




