
SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor memutuskan semua kerja pembangunan di Puncak Alam, Kuala Selangor dihentikan segera sementara pelan migitasi banjir serta Penilaian Impak Alam Sekitar dinilai semula.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pada masa yang sama, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya susulan runtuhan tebing serta memberi ruang untuk kerja-kerja pembaikan dijalankan.
“Tambahan kepada itu, kerja mitigasi banjir baik yang berskala kecil ataupun besar di seluruh negeri terutamanya kawasan yang berisiko lebih tinggi perlu dipercepatkan dengan kadar amat segera dan bukan mengikut jadual konvensional memandangkan hujan dijangka hampir setiap hari.
“Kita sedang menghadapi krisis perubahan iklim dan budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri menyedari kejadian hujan yang mengakibatkan insiden banjir di beberapa kawasan telah menyusahkan rakyat, terutamanya mereka yang pergi dan pulang dari tempat kerja serta mengambil anak dari sekolah, sehingga membawa keresahan apabila hujan.
Banjir Kilat Di NKVE, Laluan Setia Alam Ke Shah Alam Ditutup Untuk Semua Kenderaan
Banjir Kilat Jejaskan Beberapa Laluan Di Shah Alam Pagi Ini
Tular Rakaman Keadaan Ribut & Angin Kencang Di Puncak Alam, Setia Alam
Justeru, beliau berkata setiap teguran yang dizahirkan rakyat terhadap setiap agensi kerajaan mesti diterima secara terbuka dengan komitmen untuk melipatgandakan usaha membantu mangsa yang telah terkesan dengan banjir serta usaha mengelakkan banjir daripada terus berulang setiap hari.
“Rakyat tidak mampu mendengar alasan daripada mana-mana agensi sekiranya banjir berlaku, sebaliknya mereka mahu hidup secara selamat tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ataupun keluarga tersayang,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyegerakan dan menambah bantuan kepada mangsa banjir yang sedang menetap di pusat pemindahan sementara (PPS) di samping mempercepat usaha membaik pulih serta membersihkan rumah mereka melalui usaha agensi negeri serta Yayasan MBI.
Katanya, bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa di PPS untuk meringankan beban kewangan mereka ketika ini, sementara kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
“Amaran lebih awal turut akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan yang mempunyai risiko kenaikan paras air di jalan-jalan, sementara Jabatan Pengairan dan Saliran melaksanakan kerja-kerja pengalihan saliran air dengan kadar segera.
“Semua agensi telah diberikan tanggungjawab kolektif supaya usaha penyelenggaraan saliran longkang dan sungai dibuat secara lebih pantas pada kadar yang segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya.






