
SHAH ALAM – Semua kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan segera susulan kejadian banjir yang menjejaskan beberapa kawasan baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula.
Menurutnya, kerja mitigasi banjir baik berskala kecil atau besar di seluruh negeri terutamanya kawasan yang berisiko lebih tinggi perlu dipercepatkan dan bukan mengikut jadual konvensional.
“Langkah itu penting memandangkan hujan dijangka turun hampir setiap hari ketika ini.
“Kita sedang menghadapi krisis perubahan iklim dan budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya susulan runtuhan tebing serta memberi ruang untuk kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Tegasnya, semua agensi telah diberikan tanggungjawab kolektif supaya usaha penyelenggaraan saliran longkang dan sungai dibuat secara lebih pantas pada kadar yang segera tanpa sebarang kelewatan.
“Amaran lebih awal turut akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan yang mempunyai risiko kenaikan paras air jalan-jalan.
“Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaksanakan kerja-kerja pengalihan saliran air dengan kadar segera,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua projek pembangunan seluas keseluruhan 8.09 hektar di sekitar Saujana Aman, Puncak Alam akan diperiksa susulan kejadian banjir yang menjejaskan kediaman penduduk di kawasan itu.
Kedua-dua projek berkeluasan 2.02 hektar dan 6.07 itu dikenal pasti mempunyai kesan terhadap peningkatan limpahan air di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir kilat: Semua pembangunan di Puncak Alam dihenti segera appeared first on Kosmo Online.






